SEMUA atlet kebangsaan yang memandu kenderaan pulang ke kampung halaman, dinasihat berhati-hati di jalan raya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam kesibukan warga kota pulang berhari raya, atlet tidak terkecuali mahu meraikannya bersama ahli keluarga, namun beliau meminta agar fokus kepada pemanduan.

“Nasihat saya kepada semua yang balik ke kampung, berhati-hati di jalan raya dan jangan tengok telefon sahaja, fokus kepada pemanduan,” katanya.

Selain memandu atau menunggang dalam perjalanan pulang ke kampung, Hannah juga menasihati atlet supaya berhati-hati ketika melakukan kunjungan di rumah sanak saudara dan sahabat handai.

Dalam keghairahan berhari raya, Hannah meminta para atlet terutamanya yang menggalas cabaran di temasya Sukan Sea Kemboja, sentiasa ingat akan misi mereka di Phnom Penh, dan tidak mengambil mudah soal keselamatan diri.

“Satu lagi, selepas seulan berpuasa, saya harap atlet semua catu sedikit makan pada hari raya, jangan terlalu teruja sehingga menyebabkan berat badan naik dan menjejaskan prestasi pada pertandingan.”

Kebanyakan atlet diberi pelepasan untuk pulang berhari raya di kampung halaman sebelum kembali ke kem latihan dan bertolak ke Kemboja untuk menghadapi saingan temasya Sukan sea yang bermula secara rasmi pada 5 hingga 17 Mei.

Namun beberapa acara akan bermula awal seperti catur kemboja, kriket dan bola sepak, dan mereka perlu ke Kemboja lebih awal.

Selain itu, beberapa skuad seperti tinju dan hoki, atletnya berada di luar negara untuk menjalani latihan dan menghadapi perlawanan persahabatan seperti di Thailand, Australia serta China, dan berhari raya di sana.