PENYERANG Sabah FC, Amri Yahyah menyifatkan hatriknya ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA) ketika menewaskan pasukan itu 4-0 dalam aksi Liga Super semalam telah melengkapkan pencapaian kariernya sebagai pemain.

Ini kerana Amri mendedahkan itulah hatrik pertama sepanjang kariernya sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.

Malah Amri tidak menyangka peluang untuk merekodkan nama selaku pencipta hatrik masih hadir buat dirinya meskipun dianggap veteran selepas mencecah usia 41 tahun.

Paling mustahak, dia menegaskan kejayaan itu sebagai membalas kepercayaan kepada pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang masih lagi menaruh keyakinan terhadap dirinya.

“Anak ‘sulung’ (hatrik) saya. Inilah hatrik pertama dalam karier saya sepanjang bermain bola sepak dan malam ini (semalam) penantian itu terlerai dan saya berjaya mencipta hatrik ketika berusia 41 tahun.

“Saya tidak menyangka sebenarnya. Perasaan itu menjadi campur baur ketika saya berjaya menghasilkan hatrik. Masakan tidak, agak lama penantian saya.

“Jadi biasalah ada perasaan gembira, sebak dan paling penting adalah ia (hatrik) itu telah melengkapi perasaan segala perasan.

“Saya tidak mahu terlepas peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Kim Swee kerana beliau masih memberikan kepercayaan kepada saya.

 

 

 

“Apa yang pasti, saya tidak mahu memberikan jaminan bulan dan bintang tetapi saya dapat pastikan bahawa saya akan memberikan yang terbaik kepada Sabah FC mengikut kemampuan saya,” katanya.

Mengulas gol ketiga sekaligus mejadi jaringan hatrik, Amri telah membuat keputusan cepat dan bijak apabila melihat penjaga gol Kedah telah keluar sedikit ke depan.

“Saya yakin, keeper rasakan saya akan berlari masuk ke kawasan kotak dan jaringkan gol seperti gol kedua yang saya buat. Tetapi saya nampak belakang penjaga gol itu kosong dan saya terus buat ‘chip’,” tambahnya.