JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan cemerlang dengan Arif Aiman Hanapi berjaya menjaringkan hatrik pertamanya sepanjang menyarung jersi merah biru sekaligus membantu pasukan layak ke final Piala FA 2022.
Tambah menarik, tiga gol yang dijaringkan pada babak kedua itu adalah jaringan pertama musim ini buat pemain sayap lincah itu untuk membenam cabaran Penang FC 6-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim.
Tiga lagi gol JDT disumbangkan oleh Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Syahmi Safari untuk melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan di hadapan lebih 34,000 penyokong yang hadir sejak petang.
Kemenangan ini juga melebarkan lagi rekod kemenangan JDT ke atas Penang FC kepada 11 perlawanan tanpa kalah dengan anak-anak buah Datuk Zainal Abidin Hassan mendapat gol saguhati jaringan Lucas Silva.
Penang FC jelas hilang punca walaupun dapat memberikan tekanan pada 15 minit pertama sebelum kesilapan demi kesilapan dilakukan dan dihukum barisan serangan JDT yang kelihatan dahagakan jaringan.
Pengendali baharu, Hector Bidoglio meletakkan tiga pertahanan tempatan, Shahrul Saad, Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari selepas selesa mendahului untuk menguji keserasian gandingan ini.
Selain itu JDT juga beraksi dengan 10 pemain tempatan untuk 10 minit terakhir dan masih berjaya menguasai permainan hingga tamat perlawanan.
JDT kini layak ke final Piala FA buat kali ketiga dalam sejarah dan kini menunggu pemenang antara Terengganu FC dan Selangor FC yang akan beraksi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir esok.