PENDAHULU liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Terengganu FC 4-0 dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Kedua-dua pasukan turun dengan rekod tanpa kalah dan jaringan Heberty Fernandes dan hatrik dari Bergson Da Silva memberikan kekalahan pertama buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.
Selepas kehilangan tiga pemain utama akibat status pinjaman dan kecederaan, malang terus menimpa Terengganu selepas dipaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang 60 minit apabila Ubaidullah Shamsul dilayangkan kad merah yang dibantu Video Bantuan Pengadil (VAR).
Heberty Fernandes meledak gol pertama pada minit keenam sebelum Bergson menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32 untuk meneruskan rentak jaringannya dalam Liga Super bagi menjadikan kedudukan 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Harimau Selatan menyambung babak kedua dengan terus menerus menyerang kubu Terengganu dan Bergson berjaya mendapatkan gol kedua peribadinya dan juga keenam musim ini menerusi tandukan pada minit ke-64 selepas menerima hantaran Juan Muniz.
Terengganu FC dilihat sangat bergelut dengan kekurangan seorang pemain apabila langsung tidak mencabar Syihan Hazmi di gawang JDT dan anak-anak buah Hector Bidoglio selesa mengawal perlawanan.
Ketika permainan hampir tamat, Bergson melengkapkan hatriknya untuk kemenangan selesa untuk JDT mengekalkan kedudukan di tangga teratas dengan 18 mata selepas enam perlawanan manakala Terengganu menerima kekalahan pertama dan kini menduduki tangga keempat selepas lima perlawanan.