BERGSON Da Silva kembali menemui sentuhan jaringan emasnya apabila berjaya meledak hatrik untuk membantu pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) membenam pasukan tercorot Kelantan United FC 6-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Hatrik keenam sepanjang karier pemain Brazil itu bersama Harimau Selatan juga memberikan rekod ‘Perfect 10’ buat JDT apabila mencatatkan kemenangan kesepuluh berturut-turut dalam Liga Super musim ini.
Tiga lagi jaringan JDT disumbangkan oleh Fernando Forestieri dengan dua gol dan satu penalti dari Leandro Velasquez untuk melengkapkan malam gemilang buat anak-anak buah Esteban Solari dihadapan lebih 10 ribu penyokong yang hadir.
LIGA SUPER 2023
FT: Johor Darul Ta'zim 6-0 Kelantan United FC
⚽ Bergson 8',61',69'(P) Fernando Forestieri 22',90'+2, Leandro Velasquez 76'(P)#LigaSuper2023#LuaskanKuasamuJohor#KelantanUnitedFC pic.twitter.com/EfkB9iADNY
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 13, 2023
Meskipun berehat hampir tiga minggu, JDT tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan sebaliknya terus melakukan asakan bertubi-tubi ke kubu Kelantan United yang dilihat seakan-akan menerima sahaja segala percubaan yang dilakukan pemain JDT.
Dengan penguasaan permainan hanya 30 peratus memihak kepada Kelantan United, tidak banyak pergerakan bola yang berjaya masuk ke kawasan JDT dengan barisan tengah seakan-akan kehilangan idea untuk membantu barisan serangan.
Natxo Insa yang berehat panjang sebelum ini akibat kecederaan dibawa masuk pada minit ke-75 menggantikan Hong Wan dan masih mempamerkan aksi yang mantap dan meyakinkan.
Kedudukan 6-0 kekal hingga tamat permainan dan JDT semakin kukuh di tangga teratas Liga Super dengan 30 mata dan masih lagi mengekalkan rekod hanya dibolosi sekali sahaja setakat 10 perlawanan liga.
Kelantan United pula kekal di tangga terakhir dengan masih belum merasai nikmat kemenangan dan kini semakin tertekan dengan hanya dua mata dari 10 perlawanan dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengelak pasukan ini menjadi lebih ketinggalan.