BINTANG lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly gagal melakukan ‘hatrik’ emas Sukan Paralimpik selepas meraih pingat perak di Stade de France awal pagi Ahad.
Pada awal lompatan, atlet berusia 27 tahun itu mencatat peningkatan yang baik dengan lompatan pertama 7.22m, kedua 7.43m dan lompatan terbaik yang ketiga 7.45m. Namun tiga lompatan terakhir dibatalkan.
Apa yang menarik perhatian semua penonton di Stade de France ini apabila atlet Rusia Iakushev Matvei yang beraksi di bawah bendera Neural Athlete Paralympic (NPA) membuat kejutan pada lompatan terakhir dengan 7.51 meter, sekaligus meraih pingat emas.
Sebelum itu Matvei merekodkan lompatan pertama 7.10m, kedua 7.22, 7.33m dan lompatan keempat 7.28m. Manakala lompatan kelima dibatalkan.
Keputusan tersebut agak terlewat buat Latif untuk bangkit mengejar catatan lompatan terbaharu memandangkan tiga lompatan terakhirnya dibatalkan.
Pingat gangsa dimenangi atlet Colombia Obando Asprilla Jhon Sebastian dengan rekod 7.38m.
Kemenangan pingat perak daripada Latif ini menyaksikan impian untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam dua edisi Sukan Paralimpik sebelum ini di Rio de Janeiro 2016 (7.60m) dan Tokyo 2020 dengan catatan 7.45m tidak menjadi kenyataan
Kini Malaysia mengumpul dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Biarpun gagal meraih pingat emas, rekod acara lompat jauh T20 ini untuk Sukan Paralimpik masih dipegang Latif (Rio) dan juga rekod dunia sejak 2018 ( 7.64 meter).