WIRA Selangor FC, Safuwan Baharudin mengakui jaringan hatrik yang dihasilkan semalam membantu pasukan, namun segalanya mungkin mustahil tanpa bantuan hebat daripada pasukannya.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu jelas gembira dengan aksi cemerlang yang telah ditampilkan oleh rakan pasukannya, dan dia menganggap keputusan 4-1 pada separuh akhir kedua Piala FA 2024 itu satu keputusan yang sangat positif.

Hal ini tidak diragui lagi apabila Selangor FC yang menumbangkan kekuatan Terengganu FC di Stadium MBPJ malam Sabtu, mencipa satu kemenangan yang membawa mereka ke pentas final Piala FA 2024.

Aksi yang dapat ditangkap ketika Safuwan cuba melakukan sepakan.

“Pertama sekali, ia bukan malam yang mudah untuk kedua-dua pasukan. Dua minggu kebelakangan ini ada banyak perkara negatif yang kami lalui dan apa keputusan malam ini satu yang positif. Saya rasa bukan hanya gol saya tetapi secara keseluruhannya, permainan malam ini lebih baik buat kami daripada segi penyerang dan pertahanan, kita lebih cemerlang.

“Jadi Alhamdulillah, hatrik ini juga bukan suatu yang mudah. Saya rasa bukan saya sahaja yang membantu malam ini, tetapi keseluruhan pemain memberi peranan penting kerana itu kita boleh jaringkan gol malam ini,” ujar Safuwan ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sempat bertanya mengenai sepakan voli yang dibuat pada minit ke-53 perlawanan, Safuwan menjelaskan ianya hadir daripada sudut hati sendiri (instinct), dan tidak menjangka ia menjadi gol ketiga buat pasukannya.

Selangor FC berjaya mara ke final Piala FA 2024.

“Voli itu satu perkara yang terdetik dalam fikiran, bukan sesuatu yang kita fokus dalam latihan dan apa yang terbaik malam ini adalah jaringan yang dianggap sebagai peluang, akhirnya menjadi gol sebenar,”tambah Safuwan.

Selangor FC berjaya melangkah ke aksi final Piala FA 2024, setelah hatrik yang dihasilkan oleh Safuwan dan satu jaringan menerusi Reziq Banihani memadam hasrat Terengganu FC untuk memenangi separuh akhir kedua Piala FA yang berlangsung malam tadi.