PENANTIAN selama enam tahun yang bermakna buat skuad Selangor FC yang akhirnya berjaya melangkah ke aksi final Piala FA 2024 selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 pada saingan separuh akhir kedua di Petaling Jaya, malam Sabtu.

Skuad Gergasi Merah itu berjaya menjaringkan dua gol seawal lima minit pertama permainan, menerusi tandukan kapten pasukan, Safuwan Baharudin pada minit ketiga dan kelima perlawanan.

Sorakan yang tidak henti oleh ribuan penyokong Selangor yang hadir telah menyemarakkan lagi motivasi pemain, sekali gus pastinya memberi tekanan kepada pasukan Terengganu FC yang sudah ketinggalan dua jaringan di MBPJ.

Tiga jaringan oleh Safuwan membantu Selangor ke final.

Dalam ancaman bertubi-tubi dilakukan oleh skuad kendalian Nidzam Jamil, Sang Penyu kembali mencari ruang untuk menjaringkan gol pertama dan ianya direalisasikan menerusi sepakan Ismaheel Akinade pada minit ke-22 perlawanan.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-1 (agregat 4-4). Ini bermakna kedua-dua pasukan perlu melakukan aksi lebih garang dalam memburu gol seterusnya.

Bersambung babak kedua, Safuwan sekali lagi membuat Sang Penyu tergamam di MBPJ selepas sepakan voli pada minit ke-53 meluru masuk ke gawang lawan, sekali gus menandakan gol hatrik oleh Safuwan.

Selangor FC melangkah ke Final Piala FA 2024.

Seramai 13,370 penyokong yang hadir ke stadium menjadi saksi kemenangan yang berpihak kepada Selangor FC apabila jaringan pada minit akhir oleh Reziq Banihani memberi keputusan 4-1 di Stadium MBPJ pada malam Sabtu.

Agregat 6-4 membuktikan Gergasi Merah akan melangkah ke saingan akhir Piala FA 2024, sama ada bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Kedah Darul Aman FC.