TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Mungkin ini perumpamaan boleh digunakan untuk adik Muhammad Haziq Alzam Ahmad Azizi,17 yang dilamar akademi kelab Turki, Fatih Karagumruk SK Turkey Bawah-19.
Mendapat tawaran secara rasmi pada 28 April, Haziq Alzam yang kini bersama Sekolah Sukan Negeri Johor tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya untuk menimba pengalaman lebih luas di peringkat antarabangsa.
Flash Sukan berjaya mendapatkan komen daripada bapanya, Ahmad Azizi Othman pada Isnin diberitahu, dia sedia melepaskan anaknya ke luar negara bagi mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.
“Syukur Alhamdulillah. Saya tak sangka apabila Haziq Alzam mendapat tawaran kelab Turki ketika dimaklumkan pihak ejen. Kami anggap ia sebagai rezeki bulan Syawal yang disambut semalam.
“Sebagai bapa, saya bangga, bercampur sebak kerana memang lama Haziq Alzam memasang impian beraksi bersama pasukan luar negara.
“Saya mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan oleh Allah dan kami sekeluarga sentiasa sokong dan memberi galakan apa sahaja kerjaya anak kami,” beritahu Ahmad Azizi anaknya itu lahir di Jengka 8, Pahang.
Rekod resume Haziq Alzam juga baik apabila pernah dinobatkan pemain tengah terbaik Majlis Sukan-Sukan Daerah Klang Bawah-15 dan membantu pasukannya muncul juara musim 2019/2020.
Kami berharap siri kejayaan Haziq Alzam akan menjadi sumber inspirasi anak muda dan percaya akan lebih ramai bakat Malaysia dapat dieksport ke pentas antarabangsa.
Antara pemain muda Malaysia yang beraksi di Eropah adalah Aqil Arazi Aziz yang menyertai kelab Perancis, AS Cannes ; Luqman Hakim (kelab Belgium, KV Kortrijk) ; Omar Raiyan Kama Azlan (Red Star Belgrade) dan Alle Putra Azril (FC Malaga City).