BERAKHIR sudah Temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXI yang berlangsung secara gilang gemilang pada Sabtu dan Sarawak berjaya membuktikan mereka adalah tuan rumah yang baik sehingga dipilih menjadi hos bersama bagi Temasya Sukan SEA 2027.

Sarawak bukan sahaja berbangga menjadi antara penganjur terbaik dalam sejarah Sukma malah dapat melahirkan pelapis atlet dalam pelbagai jenis sukan selain bergelar juara keseluruhan selepas hampir 30 tahun.

Antara atlet yang mencuri tumpuan pada temasya kali ini adalah pemain boling wanita, Nur Hazirah Ramli yang bukan sahaja menarik perhatian peminat atas aksi cemerlangnya tetapi mempunyai rupa paras menawan yang sentiasa menjadi sorotan lensa kamera.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu mengakui dia sangat bangga dapat beraksi cemerlang di tanah kelahirannya meskipun mempunyai persiapan yang terlalu singkat menjelang kejohanan.

Dia yang mula bermain boling sejak berusia sembilan tahun dan menjadikan Sin Li Jane sebagai idola mahu menumpukan perhatian kepada proses pemulihan terlebih dahulu sebelum menyertai pertandingan akan datang.

“Saya amat bangga kerana tidak jangka yang akan dapat banyak pingat emas tahun ini kerana saya rasa persiapan untuk Sukma tahun ini terlalu singkat tetapi saya dapat tebus dan berjaya untuk membuat yang sebaik mungkin dan bersyukur kerana telah memperolehi empat emas dan satu gangsa.

“Perancangan saya selepas ini adalah membuat ‘recovery‘ secukupnya dan bersedia untuk membuat persiapan untuk tournament yang akan datang dan kemungkinan saya juga akan melanjutkan pelajaran pada tahun hadapan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Kejayaan meraih lima pingat di Sukma itu juga menyaksikan Hazirah berjaya menerima insentif kemenangan yang diberikan Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM63,000 dan dia mahu menggunakan wang kemenangan itu untuk melanjutkan pelajarannya.

“Saya akan simpan duit itu untuk melanjutkan pelajaran dan juga kos perbelanjaan boling yang mungkin akan diperlukan di masa hadapan dan sebagai anak Sarawak saya bangga dengan pencapaian saya di sini,” jelasnya.

Hazirah berjaya memenangi emas dalam acara perseorangan, beregu, beregu campuran dan trio selain satu pingat gangsa menerusi acara berpasukan untuk membantu skuad boling Sarawak muncul juara keseluruhan.