JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan mahu merangkul kejuaraan baik dalam acara pecut mahupun keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, minggu hadapan.
Harapan besarnya itu disandarkan prestasi semasa di tiga kejohanan berturut-turut, Kejohanan Trek Antarbangsa Piala 1 Hong Kong, Kejohanan Trek Antarbangsa Piala 2 Hong Kong dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, Negeri Sembilan yang menyaksikan The Pocket Rocketman merangkul enam pingat emas daripada tiga kejohanan terbabit.
Azizulhasni mempamerkan pestasi luar biasa memenangi perlumbaan pecut dan keirin di tiga kejohanan dan ironinya, masa yang dicatatnya bertambah laju di ACC lalu.
Meskipun meletakkan pemenang pemenang dua emas Olimpik Tokyo dan dua emas Kejohanan Dunia 2022 dari Belanda, Harrie Levreysen sebagai pecabar terkuat, radar pengamatan pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu tidak terlepas daripada menghidu cabaran daripada pelumba lain.
Azizulhasni, 35, berkata, selain Levreysen, pelumba yang perlu diberi perhatian di kejohanan berkenaan terutama acara keirin ialah pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago.
“Matthew Richardson (Australia) dan beberapa lagi pelumba lain antara tiga hingga empat orang juga boleh dianggap sebagai pencabar utama. Bagaimanapun, Harrie (Lavreysen) adalah pencabar nombor satu,” katanya yang sekarang ini berada di Mallorca, Sepanyol untuk persiapan terakhir.
Ujar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, walaupun Lavreysen sangat liat untuk dijinakkan namun jurang antaranya dengan penyandang juara dunia keirin itu semakin dekat.
“Jurang antara saya dengannya semakin dekat tapi semuanya bergantung pada hari perlumbaan nanti. Situasi perlumbaan akan diambil kira. Kadangkala berada pada prestasi terbaik tapi tidak mengikut taktikal perlumbaan sukar juga untuk mencatat kemenangan.
“Saya akan sentiasa melakukan analisa video agar pada hari perlumbaan nanti semuanya berjalan lancar baik dari segi fizikal mahupun mental,” katanya yang muncul juara dunia keirin pada 2017 di Hong Kong.
Azizulhasni dan skuad berbasikal trek negara berada di Mallorca selama seminggu sebelum berlepas ke Glasgow.
Berdasarkan kemajuan dicapai dalam acara pecut, Azizulhasni berasakan dia mempunyai peluang amat baik dalam acara itu.
Pada ACC2023 di Nilai, Azizulhasni mencipta rekod baharu kebangsaan acara pecut apabila mencatat masa 9.523 saat (s), mengatasi rekod lama miliknya yang dilakukan di Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman.
Begitupun, dia perlu berada di tahap prestasi luar biasa jika mahu mengatasi kehebatan Levreysen yang baru berusia 26 tahun, selepas pelumba Belanda itu mencatat masa 9.392s pada pusingan kelayakan Kejohanan Berbasikal Trek Eropah di Grenchen, Switzerland, Februari lalu.
Acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia akan bermula pada hari keempat (5 Ogos).