HECTOR Bidoglio lulus ujian sulung sebagai pengendali baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila membuka akaun kemenangan dihadapan penyokong sendiri sekaligus meneruskan rentak kemenangan JDT kepada empat perlawanan berturut-turut dalam Liga Super.

Selepas sebulan tidak beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Harimau Selatan nyata memberikan persembahan membanggakan buat para penyokong mereka apabila membenam Kuala Lumpur City FC 5-0.

Dua gol dari Bergson Da Silva dan masing-masing satu oleh Leandro Velasquez, Fernando Forestieri dan Safawi Rasid sudah cukup untuk menceritakan perihal perlawanan yang dilihat mudah buat JDT.

KL City yang turun tanpa beberapa pemain akibat kecederaan dilihat tidak mampu menguasai corak permainan pantas lawan dan seringkali melakukan kesilapan yang mudah dihukum barisan JDT.

Anak-anak buah Bojan Hodak yang masih segar dengan kemenangan ke atas Kedah tempoh hari seakan-akan hilang punca untuk menyaingi intensiti tinggi dari JDT.

Bidoglio juga memberikan peluang kepada pemain-pemain yang jarang diturunkan untuk bermain selepas JDT selesa mendahului namun mereka masih berjaya menguasai permainan hingga wisel penamat ditiupkan.

Aksi 5 bintang itu mengekalkan JDT di tangga teratas liga dengan 35 mata dari 13 perlawanan manakala KL City terpaksa menunggu keputusan perlawanan pasukan lain untuk mengesahkan kedudukan mereka di dalam liga.