BARU sahaja bersama pasukan Harimau Selatan, selepas mengambil alih tugas Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) , Hector Bidoglio nyata amat gembira dengan kejayaan pasukan kendaliannya apabila berjaya merangkul gelaran juara Piala FA 2022 yang turut merupakan gelaran sulung baginya.
Jelasnya, dia turut teruja kerana anak buah mampu menerapkan taktikal yang diarahnya dengan bermain secara ‘high‘ pressing‘ dan berjaya mengawal keseluruhan permainan.
Tambah Hector, dia mensasarkan tiga kejuaraan bersama JDT pada musim ini dan akan berusaha keras ke arah kejayaan pasukan kendaliannya dengan meneruskan momentum kecemerlangan mereka.
“Saya sangat gembira pada masa ini. JDT satu pasukan yang hebat. Saya bukan sahaja gembira atas kemenangan pada final kali ini, tetapi saya gembira dengan cara kita menang dengan pressing, memegang bola dan intensiti yang dipamerkan pemain menyebabkan saya sangat berasa bangga.
“Sasaran kami adalah mendapat tiga kejuaraan. Piala Malaysia semakin dekat dan kita harus bekerja keras,” katanya dalam Sidang Media selepas tamat perlawanan akhir Piala FA 2022 di Bukit Jalil.
Sementara itu, penyerang JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi masih belum berpuas hati dengan prestasi dirinya meskipun berjaya membawa pasukannya menjulang gelaran kedua dalam sejarah Piala FA kelab dari selatan tanah air itu.
Jelasnya, dia hanya akan berpuas hati sekiranya dia dapat bermain di peringkat antarabangsa yang lebih tinggi dan berjaya membawa pasukan JDT ke satu tahap yang lebih membanggakan.
Biarpun demikian, anak muda kelahiran Pahang itu meluahkan rasa teruja apabila berjaya memiliki kejuaraan sulung Piala FA 2022 untuk dibawa ke bumi Johor.
“Alhamdulillah pertama kali saya memenangi Piala FA dalam karier saya. Saya letak dalam diri saya bahawa saya tidak akan pernah berpuas hati setiap perlawanan akan datang kerana masa akan datang ada banyak lagi perlawanan yang akan dibuktikan.
“Bagi saya, saya masih tidak akan berpuas hati selagi saya tidak dapat apa yang saya rasa. Satu hari nanti, saya akan rasa berpuas hati apabila saya boleh bermain di peringkat antarabangsa yang lebih tinggi dan untuk membawa JDT lebih jauh dari sekarang.
“Saya rasa teruja kerana sebelum ini sudah lama tidak menjuarai Piala FA. Setelah enam tahun, kali ini JDT menang Piala FA,” ujarnya.