PASUKAN berbasikal bukit, Helaz Cycling Team A mengungguli kejohanan XCO Helaz Mountain Bike Series 1 2024 apabila mereka mencatat kemenangan dalam kejohanan itu.
Pasukan Helaz Cycling Team A yang terdiri daripada Zulfikri Zulkifli, Muhammad Fahmi Khairul, Ammar Danish Norhelmi dan Phi Kun A/P Pan menjadi juara kejohanan dengan catatan masa 41 minit dan 53 saat.
Pasukan adiknya, Helaz Cycling Team B tidak kurang hebat apabila berada di tempat kedua dengan catatan masa 43 minit dan dua saat, dengan perbezaan masa sebanyak 1 minit dan 9 saat dengan pasukan juara.
Pemenang tempat ketiga menjadi milik pasukan Helaz Bike Shop dengan catatan masa 45 minit dan 33saat diikuti dengan pasukan Kedah dan Burgeon, masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
Menurut pengarah perlumbaan, Ronizam Ismail berkata beliau berasa puas dengan perjalanan pertandingan itu yang tidak terganggu dengan cuaca panas.
“Walaupun cuaca panas terik, pertandingan berlangsung dengan lancar dan kami gembira dengan sambutan yang baik dari orang ramai,” kata Ronizam.
Kejohanan yang diadakan di Bukit Chatak, Dungun itu merupakan kejohanan pertama Malaysia untuk menganjurkan acara Kelas 2 UCI untuk format cross country (XCO).
“Trek Bukit Chatak XCO Trail, yang mematuhi piawaian UCI, adalah ideal untuk menyediakan penunggang kami pengalaman di trek standard UCI.
“Kami berharap untuk kembali ke sini pada masa akan datang,” ujarnya lagi.