JAWATAN ditinggal Wong Choong Hann mungkin diisi dengan jurulatih sedia ada dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM) biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia memburu calon dari luar bagi menggalas tugasan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan.

Hal itu diakui Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menyifatkan tidak mudah mencari pengganti yang layak mengisi kekosongan ditinggalkan Choong Hann yang menamatkan tempoh perkhidmatan hampir lima tahun sejak November 2018 bersama badan induk sukan badminton negara itu.

Katanya, kebanyakan jurulatih terutamanya antarabangsa pastinya sedang memberi komitmen terbaik membantu negara masing-masing menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis pada tahun hadapan.

Banyak faktor perlu diambil kira bagi mengisi jawatan pengarah kejurulatihan perseorangan badminton. -Tan Sri Mohd Norza Zakaria.

“Tentu sekali kita sedang cari jalan sesuai untuk cari pengganti Choong Hann. Bukan senang kerana beliau telah bersama kita sejak lima tahun lepas, dia sudah sebati dan menjadi satu daripada penggerak serta aset pasukan badminton kita.

“Jadi, kita harus kenal pasti jurulatih sesuai, namun ia bukan jalan mudah. Kita akan lihat penstrukturan semula jurulatih sedia ada atau ambil orang baharu, perkara itu masih dalam perbincangan dan kita tidak boleh terburu-buru mahupun tangkap muat,” katanya.

Ketika ini, muka lama dan berpengalaman di ABM adalah Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan Datuk Misbun Sidek.

Wong Choong Hann bersama-sama Hendrawan bertanggungjawab melatih Ng Tze Yong.

Choong Hann adalah individu penting ketiga meninggalkan BAM dalam tempoh sebulan selepas Michelle Chai meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) bulan lalu, manakala Dr Tim Jones ditamatkan perkhidmatan selaku Pengarah Berprestasi Tinggi ABM.

Mengulas mengenai pengganti Michelle Chai, Mohamad Norza berkata, pihaknya masih melakukan proses pencarian bagi memastikan individu itu benar-benar layak mengepalai ABM.

“Kita juga melantik ejen ‘headhunter’ untuk lihat dari seluruh pelusuk dunia individu yang boleh mengendalikan akademi sukan, lebih-lebih lagi sesuai dengan badminton. Untuk kerusi Tim, kita masih dapat kawal keadaan,” katanya.

Bulan lepas, Michelle secara sukarela menyerah serta menghantar notis peletakan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif ABM susulan prestasi hambar skuad wanita negara yang tersingkir daripada saingan Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.