JURULATIH perseorangan lelaki Hendrawan bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas 15 tahun.

Pengarah kejurulatihan kebangsaan Rexy Mainaky mengesahkan kontrak Hendrawan tidak akan disambung. Kontraknya sepatutnya tamat hujung tahun ini.

“Hendrawan akan meninggalkan BAM pada akhir bulan ini (31 Oktober),” kata Rexy di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pagi tadi.

“Beliau telah berkhidmat dengan baik untuk badan kebangsaan sejak 15 tahun lalu dan pengalamannya amat berharga. Kami mengucapkan terima kasih atas jasanya dan mendoakan yang terbaik untuk perjalanan seterusnya,” tambahnya.

Hendrawan menyertai BAM pada 2009 dan telah membimbing Datuk Lee Chong Wei sehingga meraih dua pingat peraknya dalam Sukan Olimpik London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Ng Tze Yong antara pemain terakhir yang dibimbing oleh Hendrawan

Beliau juga melatih Lee Zii Jia sebelum Zii Jia menjadi pemain perseorangan profesional pada 2022 dan kemudian membimbing Ng Tze Yong.

Rexy berkata, BAM sedang mencari individu untuk mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock, telah beralih jawatan daripada pasukan senior untuk melatih perseorangan lelaki remaja.

K. Yogendran akan beralih daripada perseorangan wanita kepada perseorangan lelaki manakala jurulatih perseorangan lelaki remaja Alvin Chew – yang menyertai BAM dua bulan lalu – telah berpindah ke skuad perseorangan lelaki senior.