HENDRAWAN menafikan ura-ura yang mengaitkannya, mahu meninggalkan arena badminton negara.
Jurulatih perseorangan lelaki negara itu menegaskan bahawa dia kekal komited bagi membantu mempersiapkan Ng Tze Yong menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Kenyataan Hendrawan itu, sekali gus menepis spekulasi yang mengatakan jurulatih dari Indonesia itu akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam masa terdekat.
Hendrawan yang sudah membimbing Tze Yong selama dua tahun, berkata dia akan terus melaksanakan tugasnya mempersiapkan pemain itu menuju ke temasya di Paris.
“Saya mempunyai misi jelas bersama Tze Yong. Saya kekal komited dengan tanggungjawab saya bagi membimbing Tze Yong menghadapi Olimpik Paris,” kata Hendrawan, pemenang pingat perak Olimpik Sydney 2000.
Sentuhan Hendrawan sepanjang membimbing Tze Yong menyaksikan pemain itu mempamerkan peningkatan prestasi yang positif selain berjaya melonjakkan kedudukan rankingnya ke tangga ke-14 dunia dan di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.
Tze Yong turut berjaya memenangi pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan muncul naib juara Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, bulan lalu.
Hendrawan yang memainkan peranan penting ketika membantu Datuk Lee Chong Wei memenangi perak Sukan Olimpik Rio 2016 tekad untuk membantu Tze Yong.
“Proses kelayakan (Olimpik Paris) sangat kompetitif dan Tze Yong tidak memerlukan sebarang gangguan pada peringkat ini. Kami akan bersama bagi mencapai matlamat kami,” kata Hendrawan.
Khabar angin mendakwa Hendrawan, 51, mahu meninggalkan BAM kerana tekanan kerja.