PENGENDALI Perancis bawah-23, Thierry Henry menganggap persembahan pasukannya di Olimpik sebagai satu keajaiban walaupun tewas dalam masa tambahan di tangan Sepanyol pada final.

“Saya beritahu pemain-pemain yang mereka sudah melakukan satu keajaiban dan bangga dengan persembahan mereka.

“Kami tetap memenangi pingat. Ia tidak berakhir seperti yang kami harapkan tetapi ia masih perlawanan yang luar biasa,” kata legenda bola sepak Perancis itu selepas pasukannya tewas 5-3.

Sergio Camello menjaringkan gol keempat buat Sepanyol ketika aksi perlawanan akhir acara bola sepak lelaki. (Sumber Gambar: AP Photo)

Enzo Millot meletakkan Perancis di depan dalam aksi di Parc des Prince tetapi Sepanyol bangkit 3-1 sebelum rehat.

Maghnes Akliouche kembali merapatkan jurang dan penalti saat akhir Jean-Philippe Mateta mengheret permainan ke masa tambahan. Sergio Camella meledak dua kali untuk memberikan emas buat Sepanyol.

“Apa yang penting bagi saya ialah pasukan sudah berjuang. Ini adalah kali pertama dalam hidup saya, saya tewas pada final, tetapi kami tetap menang pingat.

“Saya akan sentiasa menghormati pasukan ini,” kata Henry yang meraih pingat bola sepak pertama negara itu sejak memenangi emas pada edisi 1984.