BEKAS ketua jurulatih trek pecut Perancis, Herman Terryn akan memulakan tugas bersama skuad berbasikal trek kebangsaan bermula Januari depan.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini mengumumkan pelantikan jurulatih itu sebagai pelapis skuad trek negara, selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurut pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, pelantikan bekas ketua jurulatih pecut skuad trek Perancis itu bakal memperkuatkan lagi pasukan negara dalam melahirkan pelumba sensasi.
“Satu perbincangan yang agak baik, positif dan berita menggembirakan bagi keluarga basikal. Kita sudah melakukan temuduga ke atas Terryn minggu lalu dan kami sudah berbincang mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, pada dasarnya, semua sudah bersetuju melantik jurulatih berkenaan yang pernah melahirkan pemenang pingat emas pecut wanita di Kejohanan Dunia 2022, Mathilde Gros.
“Jika semuanya berjalan lancar beliau akan memulakan kerja sebagai jurulatih untuk pasukan trek bermula 2024. Jadi kehadirannya akan membuka lembaran baharu kepada skuad berbaiskal trek terutama pelumba pelapis kita.
“Pengalamannya bersama skuad berbasikal trek Perancis akan memajukan atlet pelapis kita,” kata Amarjit yang mengakui Terryn sendiri memohon untuk menyertai skuad berbasikal negara.
Tambah Amarjit, minat yang ditimbulkan Terryn mungkin disebabkan melihat Malaysia mempunyai pelumba berpontensi dan tertarik dengan kemampuan Datuk Azizulhasni Awang, pelumba sensasi bertubuh kecil.
Tahun depan juga bakal menyaksikan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley bakal dinaikkan pangkat menjadi pengarah teknikal PKBM.