PEMAIN sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo menganggap persahabatan yang baik antara dia dan rakan sepasukan membentuk persefahaman di dalam padang yang menyaksikan Sang Kenari menampilkan aksi terbaik ketika menewaskan Sabah FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Dia turut gembira dengan kemenangan ini kerana baginya Sabah adalah pasukan yang kuat dan turut berpuas hati kerana apa yang dipraktikkan dalam sesi latihan dapat dijelmakan ketika perlawanan.

“Persahabatan dan persefahaman menjadi faktor utama keserasian saya dan Manuel Ott serta Lee Tuck serta para pemain juga mula memahami permainan Nafuzi dan kami akan bertambah baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan selepas ini.

“Hantaran untuk gol pertama adalah yang terbaik kerana kami sering katakan tentang perkara ini sebelum perlawanan dan gembira kerana dapat tewaskan pasukan yang kuat seperti Sabah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Hidalgo juga menjadikan impian beraksi di Piala AFC sebagai motivasi dan mahu memastikan Kedah berada di kelompok tiga teratas untuk membolehkan mereka layak ke saingan tier kedua bola sepak Asia itu.

“Motivasi saya ketika ini adalah untuk mengejar tempat ketiga kerana kita mahu berada di kedudukan itu untuk melayakkan diri ke Piala AFC,” tambahnya.

Kemenangan pada Jumaat itu menyaksikan Kedah kini ditangga keempat mengatasi Sabah dan akan cuba meneruskan momentum baik ini pada pusingan kedua Liga Super yang akan bermula pada Rabu bertemu Perak FC.