KEMENANGAN 1-0 menjadi bukti bahawa skuad Sri Pahang FC tidak mempunyai sebarang masalah untuk beraksi dengan cemerlang di gelanggang baharu mereka, Stadium MP Temerloh pada aksi Liga Super 2024-2025 ini.
Perlawanan antara skuad Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim FC ini juga menyaksikan tiada penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) atas faktor masalah teknikal yang dihadapi oleh pihak pengurusan.
Bagaimanapun, aksi yang disajikan tetap tidak hambar oleh kerana babak pertama yang agak mendebarkan buat penonton Tok Gajah dan Kijang Emas, kerana kedua-dua pasukan itu saling tidak henti membalas serangan.
Dapat dilihat, cubaan bertubi-tubi sering dilakukan oleh Manuel Hidalgo untuk memastikan skuad Sri Pahang FC dapat membuka tirai jaringan pertama dalam perlawanan Liga Super malam ini.
Namun, penonton yang hadir ke stadium perlu akur apabila kedua-dua pasukan akhirnya terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, walaupun dapat dilihat skuad Tok Gajah tampil lebih garang pada minit-minit terakhir sebelum wisel dibunyikan.
Bersamnung pada babak kedua perlawanan dengan masing-masing membawa aura dan semangat baharu, asakan demi asakan terus dibuat di kedua-dua belah gawang gol pasukan.
Dalam situasi ‘asyik’ berbalas serangan, Sri Pahang berjaya mematahkan harapan KDN FC untuk membuat jaringan sulung setelah sepakan percuma yang diambil oleh Manuel Hidalgo akhirnya menumbangkan penjaga gol lawan, Khatul Anuar Md Jalil pada minit ke-63.
Rekod 6, 678 kehadiran penonton yang turun ke Stadium Temerloh malam ini menjadi saksi kemenangan yang berpihak buat pasukan tuan rumah sekali gus ia membuktikan bahawa beraksi di gelanggang ini tidak memberi impak buruk (sementara) kerja baik pulih Stadium Kuantan Darul Makmur siap dijalankan.