MANUEL Hidalgo puas menikmati satu musim yang hebat bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Menerusi coretan di Instagram, Hidalgo yang bermain di posisi sayap kanan mendedahkan dirinya ingin berehat seketika sebaik saingan Liga Super melabuhkan tirainya malam tadi.

Aksi baharu dijangka bakal bermula semula pada April tahun hadapan.

“Saya menutup tahun ini bersyukur kerana telah menjadi sebahagian daripada kelab yang hebat ini. Saya membawa rakan-rakan dan kenangan indah bersama saya, saya menikmatinya dan saya harap saya telah membuat anda menikmati di dalam padang juga.

“Saya berterima kasih kepada kakitangan kejurulatihan, kakitangan perubatan dan semua orang yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian di kelab. Saya juga berterima kasih kepada peminat Kedah yang luar biasa.

“Kini tiba masanya untuk berehat dan mula membuat persediaan untuk lembaran baru dalam kerjaya saya, yang terbaik akan datang,” katanya.

Bersama Sang Kenari, pemain kelahiran Argentina itu tampil 24 perlawanan Liga Super, menjaringkan tiga gol serta melakukan 10 bantuan jaringan.