ABANG’ rambut perang atau nama sebenar, Derrick Gan mengakui bahawa perjalanan hidupnya kini telah bertukar 360 darjah daripada sebelum ini.

Perkara ini terjadi selepas tular pengorbanan seorang peminat Harimau Malaya yang sanggup menggadaikan motosikalnya demi merealisasikan impian ke Qatar, untuk menonton perlawanan Malaysia di pentas Piala Asia, Qatar.

Tidak dijangka, tindakannya itu telah menjadi satu perkara ‘viral’ sekali gus meraih perhatian daripada seluruh peminat bola sepak, termasuklah individu dan pihak-pihak besar yang mahu menaja motosikal baharu buatnya dan ada juga yang menjadikan Derrick sebagai duta produk di sesuatu syarikat.

Derrick antara ekor sejati Harimau Malaya yang sebenar.

“Inilah masanya untuk saya menghargai semua yang telah memberi sokongan padu kepada Derrick.

“Jutaan terima kasih kepada syarikat-syarikat dan individu di luar sana yang telah menaja, memberi hadiah dan kata-kata semangat serta menghargai usaha pengorbanan Derrick selama ini.

“Tidak dilupakan, kepada pengurus peribadi saya, Azrin Abdul Malek, terima kasih kerana sudi menjadi pengurus saya, naik turun sana sini, uruskan jadual yang sangat sibuk dan teman Derrick sepanjang jalan.

Derrick telah dilantik menjadi duta syarikat Johann & Joann.

“Ingat semua, yang terjadi ini bukan kredit pada Derrick sahaja, tetapi ini untuk Malaysia,” ujar Derrick menerusi hantaran yang dimuat naik ke laman Facebook peribadinya.

Terdahulu, FLASH SUKAN ada melaporkan bahawa syarikat perabot Johann & Joann telah melantik Derrick sebagai duta produk mereka, sejurus menjadi penyumbang utama buat Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim.

Selain itu, Azrin Abdul Malek yang merupakan pengurus peribadi Faisal Halim juga telah diumum sebagai pengurus peribadi buat Derrick Gan.