KETUA Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff meluahkan keterujaan kerana acara IJM Allianz Duo Highway Challenge kembali dianjurkan pada tahun ini.
Jelasnya, beliau sangat gembira untuk memberi peluang kepada peserta kembali beraksi di atas lebuhraya.
Selain berharap acara ini dapat dianjurkan setiap tahun, dia turut menitikberatkan aspek keselamatan peserta agar tidak terlibat dalam kemalangan semasa acara sedang berjalan.
“Kami sangat berbesar hati untuk mengumumkan penganjuran IJM Allianz Duo Highway Challenge 2023 kini kembali.
“Ini membuktikan komitmen jangka panjang kami untuk terus menyumbang secara positif kepada sukan dan masyarakat. Kami sangat teruja untuk memberi peluang kepada para peserta untuk kembali beraksi di atas lebuhraya.
“Kami juga berbangga melihat acara ini berkembang dengan baik dan berharap Duo Highway Challenge akan menjadi acara larian yang dinanti-nantikan di dalam kalendar tahunan setiap peserta larian.
“Keselamatan para peserta sentiasa menjadi keutamaan kami agar mereka dapat berlari dengan selamat di samping menikmati pemandangan indah,” jelas Wan Salwani Wan Yusoff.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang bersyukur kerana pertandingan tersebut dapat dianjurkan semula selepas pandemik Covid -19 mula menunjukkan angka penurunan.
Selain itu, dia turut berharap rakyat Malaysia akan kembali aktif dan mementingkan aspek kesihatan dengan menyertai acara larian ini.
“Kami berasa gembira apabila acara seumpama ini dianjurkan semula selepas pandemik. Kami berharap ia dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk kembali aktif dan mengambil bahagian serta menyahut cabaran yang unik ini demi kesihatan dan kesejahteraan mereka,” ujar Sean Wang.
Biarpun berdepan kesukaran mengembalikan penganjuran kali ini, Pengarah Urusan Kumpulan EC Pixels, Eugene Chan menganggap ianya satu langkah baik menerapkan elemen gaya hidup sihat kepada masyarakat di Malaysia.
“Sudah pasti akan terdapat kesukaran untuk menganjurkan larian ini seperti kebiasaan selepas tidak dianjurkan sebelum ini kerana pandemik Covid-19.
“Tetapi objektif dan tujuan IJM serta Allianz adalah untuk memberikan semula sumbangan kepada masyarakat dengan menyokong gaya hidup sihat.
“Kami sebagai penganjur cuba memastikan industri sukan ini berada pada satu tahap berbeza. Kami juga menawarkan laluan larian paling selamat di Malaysia kepada setiap peserta,” ujarnya.
Sebagai rekod, UM Allianz Duo Highway Challenge sentiasa mendapat sambutan hangat apabila jumlah penyertaan meningkat sepanjang tahun sehingga 2019.
Namun, disebabkan wabak Covid-19, ia tidak dapat dianjurkan pada 2020 dan berjaya dilangsungkan secara virtual pada 2021 , turut mendapat sambutan yang hebat.
Untuk penganjuran kali ini, kira-kira 15,000 jumlah peserta dijangka menyertai kedua-dua larian dengan membabitkan 15 peratus peserta dari luar negara dan 85 peratus peserta tempatan.
Bagi Besraya Highway Challenge, dua kategori ditawarkan iaitu Terbuka 6 km serta Cabaran Larian 13 km yang membabitkan peserta mengikut kategori umur tertentu dengan tema ‘Conquer The Highway’.
Manakala NPE Highway Challenge pula bertemakan ‘King of The Highway’ menawarkan tiga kategori iaitu Fun Run 5 km, 10 km serta Cabaran Larian 21 km mengikut peringkat umur tertentu.
UM Allianz Duo Highway Challenge adalah penganjuran larian kali pertama di dunia membabitkan dua lebuhraya utama di Malaysia. Kedua-dua lebuhraya yang diuruskan oleh UM itu akan ditutup sepenuhnya sepanjang penganjuran larian berkenaan.