PERASAAN menikam sanubari melandai penulis selepas dikejutkan dengan perkhabaran bekas jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan telah pergi meninggalkan kita semua.

Untuk makluman, penulis agak selalu berhubung dengan mendiang dalam topik perbualan bola sepak negara, mengetahui bahawa Sathianathan sebelum ini telah berjuang menentang kanser.

Apa yang pasti bola sepak Malaysia telah kehilangan sebutir permata di mana kebangkitan bola sepak negara adalah berdasarkan salah satu daripada elemen kerja keras beliau selama ini.

Penulis telah mengikuti perkembangan Sathianathan sejak beliau mengendali pasukan berstatus kelab mahupun kebangsaan.

Penulis yakin bahawa beliau adalah seorang yang lantang tetapi dalam masa yang sama cukup mesra dalam kalangan pengamal media tempatan.

Penulis masih ingat lagi pengenalan Sathianathan sebagai jurulatih bermula ketika mengendali Negeri Sembilan dalam aksi Piala Emas pada tahun 1992.

Namun nama Sathianathan disebut-sebut antara salah seorang jurulatih tempatan berjaya apabila menjulang Pestabola Merdeka pada 2007.

“Dalam bola sepak, kamu tidak boleh berikan 100 peratus tetapi kamu harus lebih memberikan daripada 100 peratus jika anda mahu berjaya.”

Itulah amanat, falsafah dan motivasi Sathianathan yang penulis tidak akan sesekali lupakan selepas beliau berjaya memenangi Pestabola Merdeka.

Prestasi cemerlang Sathianathan juga menyinar bersama kelab-kelab apabila beliau membantu Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).

Dek persembahan konsisten itu tidak hairanlah mengapa beliau telah dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

Selain daripada itu, Presiden Persatuan jurulatih-Jurulatih Malaysia ini juga menaburkan bakti kepada jurulatih-jurulatih negara dengan memperjuangkan kebajikan pengendali kelab dalam industri liga tempatan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikuli.

Sebelum penutup bicara, penulis ingin berkongsi momen pujian bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Almarhum Sultan Ahmad Shah kepada Sathianathan.

“Mental Sathianathan sangat kuat dan keinginan Sathianathan sangat kuat membuatkan beliau mengapa menjadi jurulatih yang hebat,” itulah titah Almarhum kepada penulis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuatkan semangatmu Sathia… anda adalah pejuang!

Tiada apa yang mampu dituturkan lagi oleh penulis selepas pemergian Sathianathan.

Ini kerana penulis telah kehilangan seorang jurulatih, tokoh dan kawan dalam Liga Malaysia.

Berehatlah kamu di sana, Sathianathan.