RAHSIA umum yang selama ini melanda pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC akhirnya terlerai apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) kelmarin mendedahkan beberapa perkara berkaitan kelab dari utara itu.

Kelab Penyokong Negeri Kedah (HKC) menerusi Presidennya, Saiful Azrul Che Lah berkata, dalam dua sesi dialog bersama KDA FC telah menekankan beberapa perkara terutamanya terhadap urus tadbir yang baik.

“Namun daripada pandangan HKC kegagalan tadbir urus yang baik menyebabkan apa yang dirisaukan berlaku. Paling jelas, pemilik KDA FC yang dilihat bersungguh-sungguh namun kurang mendapat dokongan daripada struktur lain dalam KDA FC.

“HKC juga menggesa agar langkah konstruktif diambil untuk menangani masalah ini dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Contohnya seperti yang ditekankan agar Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) pengurusan tertinggi KDA FC dinilai dan jika gagal, mereka harus bertanggungjawab dan diambil tindakan.

“Untuk menjadikan KDA FC lebih kompetitif, seharusnya jawatan-jawatan penting diiklankan untuk mendapat bakat yang lebih berkelayakan untuk mentadbir KDA FC kerana harus diingat, kini KDA FC adalah entiti korporat yang memerlukan pegawai yang lebih kompeten.

“Ini selaras dengan semangat slogan Membina Impian Mengupaya Legasi  yang seharusnya menterjemahkan gerak kerja pengurusan yang cekap dan efektif,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Tambah Saiful Azrul, sekiranya tiada langkah konstruktif diambil, HKC bimbang KDA FC akan kehilangan ramai pemain berbakat kerana mereka pastinya akan mencari pasukan baru yang kebajikan mereka lebih terjamin.

“Dalam masa yang sama HKC amat menghargai komitmen pemain yang membuktikan mereka masih memberi yang terbaik kerana kedudukan dalam Liga Super mencerminkan kesungguhan mereka dan wajar diberi pujian walaupun pelbagai masalah melanda.

“Perhatian juga tidak harus tertumpu kepada skuad Liga Super tetapi juga skuad pelapis yang turut mengalami masalah yang sama,” ujarnya.

HKC menegaskan, KDA FC perlu memberi penjelasan kepada semua penyokong Kedah tidak hanya penyokong tertentu sahaja kerana KDA FC memerlukan sokongan semua penyokong bukannya kumpulan tertentu sahaja.

“HKC juga berharap dapat bertemu pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar setelah dua pucuk surat diutus tetapi masih belum mendapat respon daripada pihak Tan Sri.

“Akhir sekali, HKC mengharapkan satu penyelesaian menang-menang untuk semua pihak dapat diambil bagi memastikan semua pihak mendapat hasil yang sewajarnya.

“HKC mendoakan agar misi ke Asia berjaya dan berharap semua penyokong Kedah terus memberi sokongan padu kepada pasukan,” katanya.