KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui perbezaan kualiti yang ada pada kedua-dua pasukan yang menjadi penentu pemenang perlawanan akhir Piala AFC pada Sabtu.

Dia turut mengakui tidak terperanjat dengan taktikal yang dilakukan pasukan Al-Seeb sebaliknya pasukannya dihukum kesilapan mudah berdasarkan kualiti yang ada pada mereka.

Hodak turut menegaskan bahawa tindakannya memasukkan Safee Sali pada penghujung perlawanan adalah sebagai tanda penghargaan kepada legenda bola sepak tanah air itu.

“Al-Seeb mempunyai kualiti yang baik dan apabila kita melakukan kesilapan, kita akan dihukum. Mereka hanya mempunyai dua percubaan dan menjaringkan tiga gol. Untuk melepaskan ol pertama menerusi sepakan sudut adalah situasi yang sangat pelik.

“Segala-galanya adalah tentang kalau. Kami mempunyai percubaan pada minit kelima dan kalau percubaan itu masuk sudah pasti perlawanan akan menjadi berlainan dan pada separuh masa kedua, penjaga gol mereka pula cemerlang.

“Secara taktikal, mereka tidak memeranjatkan kami tetapi mereka menghukum kesilapan kami kerana mereka adalah satu skuad yang berkualiti dengan ramai pemain antarabangsa. Anda perlukan perlawanan yang sempurna dan elemen nasib untuk memenangi perlawanan dengan Al-Seeb.

Bojan Hodak

“Saya memasukkan Safee Sali sebagai tanda penghargaan kepadanya kerana kita tidak tahu ini mungkin final terakhirnya dengan pasukan ini dan kami juga lakukan perkara yang sama kepada Shukor Adan pada final Piala Malaysia tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ditanya adakah dia kecewa atau bangga dengan perjalanan KL City di kejohanan ini, Hodak menyatakan tidak ada siapa yang percaya jika dia mengatakan KL City akan bermain di final Piala AFC pada awal musim dan dia berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya terutama ketika bermain dalam tiga perlawanan sukar di tempat lawan.

Kuala Lumpur City FC berjaya menempa sejarah tersendiri apabila muncul kelab kedua dari Malaysia layak ke final Piala AFC dan berjaya menjadi naib juara selepas tewas kepada wakil Oman, Al-Seeb di final.