PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tanpa berselindung menyatakan dia tidak mampu menghalang pemain-pemainnya yang menerima tawaran gaji lumayan daripada kelab-kelab lain.
Enggan menyimpan kekecewaan, Hodak sebaliknya mempunyai perancangan sendiri mahu mencari dan menghasilkan bakat-bakat baharu sebagai pengganti pemain yang meninggalkan kelab.
“Ini adalah masalah yang saya katakan sebelum ini jika pemain mendapat tawaran gaji yang lebih tinggi. Kami kehilangan Daniel Ting sebelum ini dan kini Irfan Zakaria dan kami perlu mencari pengganti untuk mengisi kekosongan ini.
“Saya tidak boleh mengikat pemain oleh itu saya akan mencari dan mencipta pemain yang baharu,”jelasnya yang ditemui ketika sesi sidang media pra perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan pada Jumaat.
Hodak berkongsi perkara tersebut selepas KL City kehilangan khidmat Irfan Zakaria yang dipancing Sabah FC untuk musim 2023.
Dalam pada itu, Hodak mengharapkan kehadiran pemain-pemain baharu akan menjadikan pasukan lebih mantap musim ini.
“Kehadiran tiga penyerang baharu diharapkan dapat membantu kelab menjaringkan lebih banyak gol dan saya berharap mereka cepat serasi dengan rakan sepasukan.
“Ini kerana mereka sudah biasa bermain di Liga Malaysia tetapi mereka masih memerlukan masa untuk memahami corak permainan antara setiap pemain,” tambahnya.
Mengenai kehadiran pemilik baharu, Hodak menegaskan segala perancangannya tidak ada yang berubah.
“Saya ada menemui pemilik baharu sekali sahaja tetapi apa pun terjadi kami harus realistik dalam menetapkan sasaran.
“Walaupun kami akan mempunyai pemilik baharu tetapi keadaan tidak akan berubah kerana kita mempunyai pasukan seperti JDT dan Selangor yang mempunyai bajet yang lebih besar dan realistiknya kami mahu lebih baik dari tempat keenam yang dicapai musim lalu.
Hodak turut berharap agar mereka dapat memenangi perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan menentang Perak pada Sabtu kerana ianya akan memberikan semangat tambahan buat para pemain dan penyokong namun dia juga berharap agar tidak ada kecederaan yang akan melanda para pemainnya.
Dalam masa sama, Hodak juga mengucapkan selamat maju jaya buat pengendali Perak, Datuk Lim Teong Kim yang baru pertama kali memegang jawatan jurulatih di Liga Malaysia dan dia menjangkakan tekanan yang hebat bakal dirasai kerana Perak mempunyai penyokong yang besar dan fanatik.
The annual curtain raiser — Piala Menteri Wilayah Persekutuan is back for the third time!
Tickets mur mur je, RM 1 je guys!!! Bukan tu je —
Korang akan dapat XOX Starter Pack Sim Card with free RM 5 credit and 18GB Data! pic.twitter.com/gl8HZ09Fyg— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) February 1, 2023
Kuala Lumpur City FC akan berhadapan Perak FC dalam perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu dengan Bojan berharap mereka mula menjaringkan gol dan mencatat kemenangan.