ATLET renang negara, Khiew Hoe Yean menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 400 meter (m) ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya 26 Julai ini.

Atlet berusia 22 tahun itu akan menjalani latihan di Ireland minggu hadapan untuk menambah baik kelajuan renangannya demi merealisasikan impiannya.

“Matlamat saya ialah memperbaiki masa peribadi (rekod kebangsaan). Saya sedang berusaha mengatasi masa terbaik saya 3:48.36 saat (s) supaya saya boleh terus meningkat.

“Ini adalah sebahagian dari matlamat utama di Paris. Saya sangat gembira untuk berada di sana. Saya hanya ingin melakukan persembahan yang terbaik dan meraih pengalaman di Paris,” katanya ketika ditemui media di Pusat Akuatik Nasional.

Sebelum ini, Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan 400m gaya bebasnya pada Terbuka Australia di Gold Coast April lalu.

Beliau juga menambah bahawa melangkah ke temasya sukan beprestij itu menjadi impiannya sejak kecil dan bertekad tidak mahu mensia-siakannya.

“Telah menjadi impian saya untuk bertanding di Olimpik semenjak saya mula berenang, ketika berusia lapan tahun saya beritahu ibu bahawa saya mahu ke Olimpik suatu masa nanti, ia impian dari kecil lagi, selalu mencari idola saya,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin melawat kem renang bagi berjumpa Hoe Yean dan Rouxin Tan sebelum ke kem Olahraga di Trek Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.