DATUK Seri Subahan Kamal mahu skuad lelaki kebangsaan kembali berada dalam kelompok 10 ranking terbaik dunia selepas saingan Piala Dunia 2023.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) itu berkata, aksi di Bhubaneswar-Rourkela, India, 13 hingga 29 Januari ini, menjadi peluang terbaik buat Speedy Tigers memperbaiki ranking dunia yang tergelincir satu tangga.
Skuad bimbingan Arul Selvaraj ketika ini berada di kedudukan ke-11 dunia, turun satu anak tangga selepas berakhir saingan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan, bulan lalu, yang menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di kedudikan keempat kejohanan.
Malaysia yang mengumpul 1840.08 mata hanya dipisahkan 12.94 mata dengan Korea Selatan yang menghuni ranking ke-10 dunia ketika ini.
Justeru, Subahan berharap pemain dapat menampilkan persembahan terbaik mereka di Bhubaneswar-Rourkela bagi menghasilkan keputusan positif sekali gus dapat memperbaiki kedudukan ranking dunia pasukan negara.
“Kita perlu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi membuktikan kita adalah sukan berpasukan nombor satu di Malaysia. Saya sedar bukan mudah untuk bermain di Piala Dunia apabila perlu berdepan dengan pasukan utama dunia.
“Namun, saya optimis dengan semangat juang tinggi yang dimiliki pemain dan mereka boleh berikan persembahan terbaik.
“Pada edisi Piala Dunia yang lalu kita akui tidak mendapat keputusan yang baik yang mana kita dalam satu kumpulan dengan tiga bekas juara dunia iaitu Belanda, Jerman dan Pakistan.
“Kali ini, kita diundi bersama Belanda, Chile dan New Zealand. Saya percaya kita boleh menghasilkan keputusan yang baik menentang Chile dan New Zealand tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh buat yang terbaik berdepan Belanda,” katanya.
Subahan berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Turut hadir, timbalannya, Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran Muniayan, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Dalam pada itu, Hannah menyuarakan keyakinan pasukan negara mampu menampilkan persembahan terbaik mereka berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan bagi menghadapi saingan Piala Dunia kali ini.
“Saya pasti pasukan hoki negara sudah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Saya yakin, pemain semua mampu berdepan tekanan di atas mahupun di luar padang hasil daripada persiapan taktikal, fizikal dan mental.
“Saya ucapkan semoga maju jaya untuk semua,” katanya.
Skuad negara akan menghadapi dua aksi peringkat Kumpulan C di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.
Pencapaian terbaik Speedy Tigers di Piala Dunia adalah tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir empat tahun lalu di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.
JADUAL PERLAWANAN
MALAYSIA
14 Januari
Malaysia mln Belanda, 5.30 ptg
(Std Hoki Birsa Munda, Rourkela)
16 Januari
Malaysia mln Chile, 3.30 ptg
(Std Hoki Birsa Munda, Rourkela)
19 Januari
Malaysia mln New Zealand, 3.30 ptg
(Std Hoki Kalinga, Bhubaneswar)
Nota: Semua perlawanan waktu Malaysia.