PENGALAMAN lalu jangan hanya dijadikan kenangan, sebaliknya gunakan sebagai pengajaran.

Mungkin itulah kenyataan paling sesuai digunakan bagi menggambarkan diri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang tegas, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kebajikan kakitangan.

Beliau menjelaskan betapa pengalaman sebagai pemain hoki di zaman remajanya dahulu, membentuk siapa dirinya hari ini.

Menurutnya, disiplin dalam pasukan dan sikap saling mengambil berat antara rakan sepasukan yang diterapkan jurulatih ketika berada dalam pasukan hoki Selangor, dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas sebagai seorang anggota polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bersama barisan pemain hoki yang pernah mewakili Selangor dan Malaysia, menziarah bekas jurulatih yang juga Olimpian 1964, C Paramalingam, yang kini menghidap COPD, sejenis penyakit yang mengganggu pernafasan.

Discipline, teamwork and desire to win (aspek yang membentuk diri saya). Sama juga ketika bekerja, kita tak boleh capai sesuatu seorang diri, perlu ada kawan-kawan and teammates to achieve something and it’s about strategies to make it happen,” kata Mohd Shuhaily, yang berkongsi ceritanya itu ketika menziarah bekas jurulatih hokinya, C Paramalingam yang juga Olimpian, di Klang.

Olimpian neagra, C Paramalingam bersama keluarga besarnya, iaitu barisan pemain hoki yang pernah menjalani latihan di bawah kendaliannya.

Bagi Mohd Shuhaily, beliau amat mengingati setiap pesanan dan tunjuk ajar Paramalingam mengenai perancangan dan kerjasama yang menjadi asas dalam kekuatan pasukan.

“Semuanya bermula sekitar 90-an ketika masih belajar, saya menjadi pemain Kuala Lumpur. Jurulatih Param dan Siva beri peluang kepada saya berlatih dan menjemput saya bermain untuk Klang dan Selangor. Jadi saya beraksi di Sukma, Piala Razak, liga kebangsaan (remaja) dan kejohanan tempatan yang lain.”

C Paramalingam (dua dari kiri) bersama isteri Navarojini Devi Saravanamuthu (kanan) dan anak perempuan Samila Devi (kiri). C Paramalingam adalah anggota skuad hoki negara yang meraih pingat gangsa Sukan Asia 1962 di Jakarta.

Katanya, sudah agak lama beliau tidak bertemu Paramalingam dan pertemuan yang diatur bekas rakan sepasukan hokinya termasuk legenda Datuk Mirnawan Nawawi itu, digunakan sebaiknya.

Malah, beliau bersama rakan sepasukan menjadikan ziarah itu sebagai hadiah awal harijadi ke-90 Paramalingam.

Sementara itu, Paramalingam berkata, beliau terharu dan melahirkan rasa gembira apabila dapat bertemu semula dengan anak-anak buahnya selepas sekian lama tidak berjumpa.

I’m too happy to see the boys back. Im still remember when they were asked to run besides Stadium Hoki MPK (Majlis Perbandaran Klang) which was to be our training ground. Now they all are grown up and successful in their own ways,” kata Paramalingam.

Paramalingam menghidap penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) kira-kira lima tahun lalu selepas mengalami demam denggi.

Akibat penyakit itu, Paramalingam mengalami maslah pernafasan berikutan penyakit paru-paru progresif terbabit yang membuatkan penghidapnya mengalami kesukaran bernafas.