NASIB berbeza dialami skuad hoki dalam dewan kebangsaan apabila skuad lelaki mengalami kekalahan pertama dalam kejohanan ini manakala skuad wanita terus cemerlang dengan kemenangan ketiga pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand.

Skuad lelaki negara tewas 0-3 kepada pasukan pilihan yang juga di ranking nombor tiga dunia Iran, namun belum menutup peluang Malaysia untuk layak ke final apabila akan berhadapan dua lagi perlawanan menentang Indonesia esok dan Kazakhstan pada Ahad dengan kemenangan akan menjamin tempat di final.

Sementara itu skuad wanita kebangsaan pula muncul juara Kumpulan B selepas mudah menewaskan Singapura 6-0 pada perlawanan terakhir kumpulan sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah.

Kejayaan ini menyaksikan mereka mara ke separuh akhir dan menepati sasaran awal yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk mereka melangkah ke separuh akhir.

Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Nuraini Abdul Rashid dengan dua jaringan manakala Fazilla Sylvester Silin, Putri Nur Batrisyia, Iren Hussin dan Qasidah Najwa Halimi masing-masing menyumbang satu gol.

 

Tambah menarik, Nuraini turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ini apabila dua jaringannya membolehkan dia mengumpul enam gol dalam kejohanan ini.

Aksi separuh akhir dijadualkan esok dan skuad negara kini bakal bertemu Indonesia yang muncul naib juara Kumpulan A.