SKUAD Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Negara membuka kempen Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand dengan cemerlang apabila mudah membenam cabaran lawan masing-masing.
Skuad Lelaki mudah membenam Singapura 6-0 pada aksi pertama manakala Skuad Wanita pula menang bergaya 14-1 keatas Kemboja dalam aksi pertama Kumpulan B.
Gol-gol skuad lelaki kebangsaan disumbangkan oleh Faridzul Afiq dengan dua gol manakala masing-masing satu oleh Razali Hazemi, Aslam Hanafiah, Shello Silverius dan Norsyafiq Sumantri.
Penjaring skuad wanita pula terdiri daripada Nur Aishah Yaacob dengan dua gol, Putri Nur Batrisyia dan Fazilla Sylvester Silin dengan tiga gol manakala Nuraini Abdul Rashid cemerlang dengan empat gol serta Raja Norsharina Shabuddin dan Qasidah Najwa Halimi masing-masing satu gol.
Tambah menarik, dua pemain negara, Faridzul Afiq Mohd dan Nuraini Abdul Rashid masing-masing dinobatkan sebagai pemain terbaik selepas menampilkan aksi cemerlang ketika membantu pasukan meraih kemenangan.
Skuad lelaki akan turun beraksi untuk perlawanan kedua aksi bertemu Chinese Taipei hari ini manakala skuad wanita pula akan menentang Thailand pada Rabu untuk satu lagi aksi Kumpulan B.
Sebagai rekod, pada kejohanan di Thailand pada 2019, skuad lelaki telah mendapat tempat ketiga manakala skuad wanita pulang sebagai pasukan keempat terbaik Asia untuk hoki dalam dewan ini.