KEMENANGAN ke atas Thailand membolehkan skuad hoki dalam dewan lelaki negara mengesahkan tempat ke final sekali gus berupaya mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut.

Akhirnya skuad lelaki menerima cabaran sebenar di pentas Sukan SEA, apabila dicabar sengit Thailand sebelum mencapai kemenangan 5-3.

Ketua jurulatih Mohd Hanip Che Halim berkata, kali ini pemain berdepan ujian sebenar, namun berjaya meningkatkan kawalan dan memenangi perlawanan.

“Kali ini betu-betul fight, dalam masa sama kita kena counter… jadi selepas melihat semula kelemahan dan perbetulkan, akhirnya berjaya memenangi perlawanan.

“Tidak dinafikan Thailand melakukan persiapan yang sangat baik di Eropah, namun pemain kita 80 peratus adalah pemain asal hoki dalam dewan yang cukup berpengalaman daripada tahun 2017,” kata Mohd Hanip.

Dalam aksi di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, skuad negara terdahulu dikejutkan dengan gol pembukaan Thailand yang dicetak Suyaram Anuson.

Faridzul Afiq Mohd terus membantu pasukan dengan menjaringkan gol.

Gol itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat anak didik Mohd Hanip Che Halim yang bangkit menjaringkan empat gol pada minit ke-11, 12, 19 dan 26, disempurnakan Faridzul Afiq Mohd, Muhamad Izham Azhar, Razali Mohd Hazemi dan Muhammad Firdaus Omar.

Begitupun, ketika selesa mendahului 4-1, Thailand menghukum kealpaan skuad negara apabila berjaya merapatkan defisit 3-4 menerusi dua gol yang dicetak A-Nukoon Warawut.

Kebangkitan yang dilakukan Thailand itu bagaimanapun berjaya dipatahkan Faridzul Afiq yang meledak gol kelima Malaysia, dua minit sebelum wisel penamat sekali gus meleburkan harapan lawan.

Kemenangan diraih menyaksikan Malaysia kini mengumpul 12 mata dan ia cukup untuk membawa Malaysia ke final.

Namun skuad kebangsaan masih perlu melengkapkan aksi liga sepusingan bertemu Indonesia Sabtu ini.