“SAYA anggap itu sebagai cabaran kepada pasukan Malaysia, kita juga akan tunjukkan aksi terbaik, fighting spirit terbaik untuk memberi kejutan kepada Indonesia.”

Demikian respon daripada ketua jurulatih hoki dalam dewan lelaki kebangsaan, Mohd Hanip Che Halim, terhadap kenyataan ketua jurulatih Indonesia, Muhammad Dharmaraj Abdullah, yang yakin Indonesia mampu merampas pingat emas yang selama ini dikuasai skuad negara.

Ketua jurulatih hoki dalam dewan lelaki, Mohd Hanip Che Halim selesa dengan keyakinan Indonesia dan mempunyai kejutan buat pasukan lawan.

Sambil mengakui perlawanan terakhir liga sepusingan menentnag Indonesia esok tidak membawa apa-apa makna, Mohd Hanip berkata, skuad negara juga tetap akan menampilkan aksi berbeza, dan perlawanan itu tetap penting bagi menilai lawan yang sama yang akan ditentang pada Ahad: “Kita masih ada banyak perancangan dan taktikal yang belum digunakan selepas empat perlawanan di sini.”

Sementara itu, penyerang negara, Faridzul Afiq Mohd berkata, pengalaman diraih Indonesia di Eropah baik untuk pasukan itu, namun pasukan lawan tidak boleh memandang rendah kepada kemampuan skuad negara.

Faridzul Afiq Mohd yakin kepada kemampuan pasukan yang mampu mengadaptasi pelbagai situasi.

“Kita mempunyai common sense yang bila-bila masa sahaja dapat kita adaptasi pada perlawanan selain permainan berstruktur.

“Malah bagi saya, siapapun jurulatih yang membimbing pasukan, yang menentukan keputusan perlawanan adalah pemain yang berada di atas gelanggang, kerana jurulatih hanya membentuk struktur dan teknikal, pemainlah yang akan menterjemahkannya dalam perlawanan,” kata Faridzul.

Bagi pemain berpengalaman, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, apa yang disuarakan Dharmaraj itu tidak salah kerana pasukan Indonesia melakukan persiapan rapi sejak tahun lalu, berbanding skuad negara hanya kurang sebulan melakukan persiapan ke Sukan SEA.

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan tidak mahu melepaskan peluang diberi pelepasan menyertai skuad hoki dalam dewan dan mahukan pingat emas buat negara.

“Perlu diingat, dari segi teknikal pemain ktia lebih bagus, namun mana-mana pemain sekalipun jika menjalani Latihan dan melakuaknpersiapan yang Panjang setiap hari, mereka akan dapat meningkatkan mutu permainan.

“Kita akan sentiasa bersedia dan berjaga-jaga, percaya terhadap kebolehan setiap pemain dan pasti mampu mengekalkan pingat emas,” kata Syed Mohamad Syafik.

Skuad negara ketika ini mengumpul 12 mata selepas empat kemenangan, berkomngsi mata dengan Indonesia, selepas kejayaan mengatasi Filipina 19-0, Singapura (5-0), Thailand (5-3) dan Kemboja 10-1).

Esok skuad negara akan menentang Indonesia untuk melengkapkan saingan liga sepusingan, sebelum sekali lagi bertemu pasukan itu di final pada Ahad.