SKUAD hoki dalam dewan wanita telah menamatkan kempen Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2024 di tempat ketiga, selepas berjaya menumpaskan Indonesia 4-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat pada malam Khamis.
Kemenangan yang dilakar di Chonburi, Thailand sekali gus menyaksikan skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi dapat mengekalkan kejayaan yang diraih pada kejohanan edisi 2010, 2012 dan 2022.
Rodzhanizam dalam masa yang sama memberi pujian terhadap anak buahnya kerana mempamerkan semangat tinggi meskipun terkesan dengan kekalahan sebelumya dengan Thailand, 1-2 sehingga gagal mara ke final.
“Alhamdulillah kami mengekalkan tempat ketiga . Pemain telah menunjukkan semangat kebangkitan pada perlawanan menentang Indonesia hari ini. Kecewa semalam menjadi sejarah dan mengajar kami untuk bangkit menebus kekecewaan.
“Aksi hari ini, pemain bermain mengikut perancangan barisan kejurulatihan dan pada tahap yang terbaik. Pujian harus diberikan kepada pemain yang bermain demi maruah negara.
“Terima kasih kepada Datuk Sri Subahan Kamal, yang tidak jemu memberikan fokus kepada pasukan Hoki Dalam Dewan dan kami sepasukan berharap perhatian yang lebih akan diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) kepada sukan ini, selepas ini,” ujarnya selepas tamat perlawanan.
Untuk rekod, Malaysia pernah menjulang Piala Asia sekali selepas menewaskan Kazakhstan 2-1 ketika menjadi tuan rumah edisi sulung tahun 2009 yang berlangsung di Ipoh, Perak.