DUA pasukan hoki negara lelaki dan wanita diundi berada satu kumpulan dengan Great Britain pada pusingan kelayakan Olimpik Paris 2024, namun mereka akan beraksi di dua venue berbeza.
Skuad lelaki bimbingan ketua jurulatih A.Arulselvaraj, diundi bersaing dalam kumpulan A di Muscat, Oman, manakala skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim dalam kumpulan B, tetapi di Valencia, Sepanyol.
Undian yang dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) semalam menyaksikan pasukan hoki lelaki akan bersaing dengan Great Britain, Pakistan dan China dalam kumpulan A, manakala kumpulan B membabitkan Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.
Satu lagi kelayakan berlangsung di Valencia membabitkan Belgium, Ireland, Jepun dan Ukraine dalam kumpulan A, manakala kumpulan B terdiri daripada Sepanyol, Korea Selatan, Austria dan Mesir.
Enam lagi slot kelayakan masing-masing tiga ditawarkan kepada pasukan bersaing di Muscat dan tiga di Valencia, menjadi taruhan.
Dalam pada itu, pasukan wanita negara akan bersaing menentang tuan rumah, Sepanyol, Kanada selain Great Britain dalam kumpulan B di Valencia.
Kumpulan A pula membariskan Belgium, Korea Selatan, Ireland dan Ukraine.
Satu lagi aksi wanita berlangsung di Ranchi, India yang menyaksikan saingan kumpulan A antara Jerman, Jepun, Chile dan Republik Czech, manakala kumpulan B, India, New Zealand, Amerika Syarikat dan Itali.
Semua aksi kelayakan akan berlangsung pada 13 hingga 21 Januari 2024.
Setakat ini, dalam kategori lelaki, Perancis telah layak ke temasya itu secara automatik sebagai tuan rumah, manakala lima slot automatik benua telah diisi Australia (Oceania), Belanda (Eropah), India (Asia), Argentina (Pan Amerika) dan Afrika Selatan (Afrika) apabila masing-masing muncul juara kejohanan sebenua.
Manakala pasukan wanita yang telah layak, Perancis (tuan rumah), Australia (Oceana), Belanda (Eropah), China (Asia), Argentina (Pan Amerika), Afrika Selatan (Afrika).