PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal nyata berpuas hati dengan aksi ditunjukkan oleh Speedy Tigers meskipun gagal menjulang Piala Asia selepas tewas kepada Korea Selatan dalam aksi final Rabu lalu.
Tidak mahu mengambil tempoh yang lama, KHM akan mengaturkan lebih banyak perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan hoki terbaik dunia bagi memastikan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau yang ditemui sebelum ini turut mendedahkan akan mengkaji ganjaran yang akan diberikan kepada skuad kendalian Arul Selvaraj ini selepas kejayaan mereka layak ke Piala Dunia Hoki 2023.
“KHM sangat berpuas hati dengan persembahan ini kerana misi kami adalah layak ke Piala Dunia. Walaupun sedih kerana gagal membawa pulang Piala Asia tetapi ianya masih lagi pencapaian membanggakan.
“Kami juga selepas ini akan mengaturkan beberapa siri perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan yang lebih kuat seperti Belanda, Belgium dan juga India. Ini penting untuk persediaan kita layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
“Pihak kami akan berbincang untuk menentukan ganjaran yang akan diterima oleh para pemain. Ini kerana misi utama mereka untuk layak ke final sudah tercapai,” jelasnya kepada media.
Skuad kebangsaan gagal menamatkan kemarau untuk memenangi Piala Asia selepas dikecewakan oleh Korea Selatan 2-1. Namun begitu, aksi mantap yang ditunjukkan memberikan sinar untuk Malaysia lebih berdaya saing di Piala Dunia Hoki 2023 nanti.