HANYA pingat emas boleh mengesahkan skuad hoki lelaki dan wanita negara sebagai ‘King’ di pentas Asia Tenggara.

Sandaran dua emas yang tidak boleh tercicir itu menjadi harapan tinggi buat Ketua Kontinjen ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali.

Malah beliau berkata, kemenangan dua pingat emas di Phnom Penh itu nanti pasti akan menyemarakkan lagi semangat pemain yang akan menggalas cabaran di Sukan Asia September depan.

Dalam kunjungannya ke gelanggang latihan skuad hoki negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Khamis malam, Mohd Nasir optimis pingat emas boleh dibawa pulang meskipun skuad hoki dibarisi pemain remaja.

Ketua Kontinjen ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir memberi taklimat kepada pemain lelaki yang menggalas cabaran negara di Phnom Penh.

“Saya difahamkan kita berpeluang untuk emas bagi lelaki dan perempuan.

“Disebabkan dua tahun tak ada hoki dan tahun ini ada, sepatutnya dengan pengalaman, kejohanan dan pertandingan mereka sertai, mereka seharusnya sudah bersedia.

“Malah, saya juga difahamkan empat pemain senior juga akan memasuki pasukan ini dan ada empat pemain (daripada skuad) remaja ini adalah sebahagian daripada (pasukan) senior. Dapatkan emas adalah penting, dan kita yakin mereka dapat mencapainya.

“Ini kerana dengan kemenangan itu, sekurang-kurangnya semangat kita untuk bertarung di Sukan Asia pada September ini akan disemarakkan lagi dengan kemenangan mereka. Sukan Asia disertai negara kuat seperti Korea Selatan, India dan Pakistan, seteru yang kuat.

Skuad remaja lelaki turut berada dalam persiapan ke Piala Dunia Remaja, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Disember tahun ini.

“Jadi tak ada sebabnya, kenapa kita tak dapat menang di peringkat Sukan SEA ini dan dengan itu, semangat untuk menang di Sukan Asia akan tercapai. Penting untuk menang di Sukan Asia kerana pemenang pingat emas akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kemenangan adalah satu-satunya persiapan buat skuad hoki negara ke pentas lebih tinggi.

Skuad lelaki negara mempunyai koleksi 16 pingat emas di pentas Sukan SEA sejak 1971 dengan kali terakhir meraihnya di Kuala Lumpur 2017 selepas membenam Myanmar 14-0 di pentas final.

Dalam pada itu, pasukan wanita juga tidak kurang hebatnya, mempunyai tujuh emas dalam genggaman secara berturut-turut sejak di Jakarta 1997 sehingga Kuala Lumpur 2017.