KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan senarai 20 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan Piala Asia 2022 yang akan berlangsung di Jakarta bermula 23 Mei ini.
Kejohanan Piala Asia 2022 Jakarta Indonesia, akan berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, dengan tiga slot teratas bakal mendapat tiket ke Piala Dunia Hoki 2023 di India.
Empat slot automatik ke Piala Dunia 2023 bagi benua Asia telah diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan satu slot telah diisi oleh India selaku tuan rumah Piala Dunia 2023.
Pengurus Pasukan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Dato’ Mirnawan Nawawi telah mengumumkan senarai 20 pemain melibatkan dua penjaga gol, enam pemain pertahanan, lapan pemain tengah dan empat pemain penyerang.
Menurut Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan A.Arulselvaraj, layak ke Piala Dunia 2023 adalah sasaran utama pasukan dan pemain-pemainnya telah bersedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik serta memastikan sasaran tersebut dicapai.
“Kami telah mengumpul maklumat mengenai pasukan-pasukan yang akan dihadapi dan kami juga mempunyai peluang untuk meninjau perlawanan yang melibatkan pasukan Korea dan Bangladesh terlebih dahulu sebelum turun bertemu mereka.
“Matlamat utama kami adalah untuk layak ke Piala Dunia dan kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Kejohanan ini menggunakan sistem ‘Super 4’ di mana dua pasukan teratas Kumpulan A dan B akan bertemu secara liga satu pusingan.
“Jika India berada di dalam kelompok “Super 4” ini bermakna keempat-empat pasukan layak ke Piala Dunia 2023 namun jika India tiada di dalam kelompok tersebut ini bermakna hanya tiga pasukan akan mendapat slot automatik tersebut,” jelasnya pada sidang media, Selasa.
Sementara itu, kapten Speedy Tigers Muhammad Marhan Mohd Jalil menjelaskan berpegang kepada prinsip untuk bermain sebagai satu pasukan dan akan menerapkan pelbagai perkara di dalam latihan untuk memastikan prinsip tersebut sentiasa ada.
“Sasaran yang diletakkan kepada kami adalah untuk layak ke Piala Dunia, namun untuk sasaran persendirian pasukan adalah kami ingin muncul selaku juara Piala Asia 2022.
“Saya sering ingatkan kepada rakan sepasukan untuk mengambil setiap tekanan yang ada sebagai sesuatu yang positif dan menjadikan tekanan tersebut sebagai kekuatan juga keyakinan untuk bermain.
“Setiap pemain telah mengetahui kelebihan dan kekuatan yang dimiliki dan kini apa yang perlu mereka lakukan adalah menterjemahkannya di dalam perlawanan,” kata Marhan yang telah mengumpul 271 kaps antarabangsa.
Hadir sama pada sidang media ini adalah Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal yang yakin dengan kemampuan skuad negara untuk layak ke Piala Dunia tahun hadapan.
Skuad senior lelaki kebangsaan akan berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Rabu, 18 Mei dan akan melalui satu perlawanan persahabatan sebelum aksi sebenar bermula pada 23 Mei.