KETUA pasukan hoki kebangsaan, Marhan Jalil nyata gembira dan berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan teman sepasukannya ketika menewaskan Jepun 5-0 dalam aksi Super Four di Piala Asia di Jakarta pada Selasa.

Marhan juga mengakui bahawa para pemain banyak belajar tentang kesilapan dari permainan lalu terutamanya ketika suku ketiga dan persembahan berbeza berjaya ditampilkan hari ini.

“Saya gembira dengan persembahan pasukan hari ini. Semua pemain telah beri yang terbaik dan pasukan sangat gembira dengan keputusan ini.

“Kelemahan kami pada suku ketiga sudah kami baiki. Kami banyak belajar dari perlawanan sebelum ini. Fokus diberikan kepada permainan dengan memberikan lebih tekanan pada pihak lawan supaya tekanan itu tidak kembali kepada kami.

“Persiapan kami untuk final bermula dari hari ini. Tidak kira pasukan mana yang akan dihadapi, kami akan bagi yang terbaik dan fokus kepada persembahan pasukan,” ujarnya selepas perlawanan.

Kemenangan Malaysia ke atas Jepun itu membawa Speedy Tigers ke final bertemu Korea Selatan dan berpeluang untuk muncul juara Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah hoki Malaysia.