DUA kemenangan diraih dalam masa sehari, meletakkan skuad hoki 5 sepasukan lelaki negara dalam posisi terbaik untuk menjuarai kumpulan Elite, Kejohanan Hoki Piala Asia 5’s di Salalah, Oman.

Selepas membelasah tuan rumah Oman, 10-4 pada hari pertama, skuad negara beraksi cemerlang membelasah Jepun 18-2 dan menewaskan Bangladesh 10-5 pada hari kedua biarpun perlawanan hanya berselang lima jam.

Skuad hoki lelaki negara tiada masalah membenam cabaran Jepun 18-2 pada saingan Kejohanan Hoki Piala Asia 5’s. -Pix AHF

Pengurus pasukan hoki 5’s lelaki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berkata, pemain mencapai sasaran awal untuk meraih tiga mata penuh pada tiga perlawanan pertama.

“Kita sedar, dua perlawanan terakhir adalah menentang lawan yang sukar, India dan Pakistan sangat kuat dan kita berpeluang menyaksikan perlawanan antara dua pasukan itu (India vs Pakistan), mereka bermain secara terbuka dan kedua-duanya sangat agresif.

“Hari ini kita akan menentang India jadi kita fokus kepada lawan satu persatu,” kata Sukri.

Dalam dua aksi semalam, skuad negara membelasah Jepun 18-2, namun memberi peluang kepada Bangladesh membolosi gawang lima kali ketika menang 10-5.

Pemain negara berjaya meraih kemenangan ketiga, membelasah Bangladesh 10-5 dalam aksi Kejohanan Hoki Piala Asia 5’s. -Pix AHF

“Menentang India, pemain tidak boleh memberi banyak ruang buat lawan melakukan pukulan ‘shot on goal’, begitu juga dengan Pakistan.

“Pemain perlu lebih cepat masuk ketika lawan memegang bola, cepat memberi reaksi, pemikiran dan kaki perlu cepat bertindak balas untuk memberi tekanan kerana India sangat pantas bergerak dan melepaskan pukulan, paling penting adalah cepat menutup ruang, ” katanya. 

Menurutnya, keputusan perlawanan ketika menentang Oman dan Bangladesh yang memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol, tidak boleh diulang ketika bertemu india.

Sambil mengakui sukar untuk menutup semua ruang, namun Sukri yakin jurulatih dan pemain akan membuat perbincangan mencari jalan menambah baik pasukan dan meningkatkan intensiti permainan namun paling utama, beliau mahu pemain lebih berani.