KAPTEN pasukan skuad hoki dalam dewan negara, Najmi Farizal Jazlan meluahkan rasa lega dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman serta muka baharu dalam pasukannya.

Kemunculan pemain-pemain itu dapat meningkatkan rasa keyakinan terhadap skuad lelaki kebangsaan untuk mempertahankan gelaran juara di Kejohanan Hoki Piala Asia Dalam Dewan yang akan berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan dari 21 sehingga 25 Mei ini.

Tambahan pula, aksi persabahatan yang akan diadakan di Thailand minggu ini juga adalah satu perlawanan yang penting buat pasukan untuk memastikan skuad negara berada di radar yang tepat sebelum memulakan aksi perlawanan sebenar.

“Bagi saya, saya yakin dengan pasukan yang ada ini untuk ke final cuma kena lebih persediaan dan perlu ambil (hadapi) perlawanan demi perlawanan dengan serius tanpa mengira siapa mereka sama ada pasukan lemah atau kuat.

Kapten pasukan optimis dapat kekalkan kejuaraan pada musim ini.

“Untuk persiapan, Alhamdulillah persiapan kami sangat positif ketika ini. Kami pun baru lepas perlawanan persahabatan dengan Singapura dan keputusan positif. Selepas ini kami akan ke Bangkok, untuk ada beberapa perlawanan di sana dengan skuad negara mereka (Thailand).

“Kita akan tengok taktikal dan kami cuma nak cari intensiti perlawanan,mungkin tempo itu lebih baik dan lebih laju lagi bila kita bertemu pasukan yang kuat seperti Iran dan Kazakhstan.

“Bagi kami,kami perlu mencari corak permainan kami dan intensiti perlawanan sebab kami perlukan tempo permainan yang laju. Bila kita tahu bermain dengan mereka yang tahu bermain ‘indoor’, itu akan membantu pasukan untuk tingkatkan lagi kekuatan pasukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Kebangsaan, pada Ahad.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa pasukan hoki dalam dewan lelaki mempunyai misi utama untuk melangkah ke final Piala Asia demi melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan yang akan berlangsung di Croatia tahun depan.