SKUAD hoki dalam dewan wanita berjaya mara ke pusingan separuh akhir setelah membenam pasukan Iran 4-2 dalam perlawanan akhir Kumpulan A, Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024, di Chonburi Thailand.

Saingan yang penuh sengit itu menyaksikan Malaysia berjaya bangkit setelah tewas kepada Kazakhstan pada aksi sebelumnya, sekali gus membenarkan skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi mengungguli carta Kumpulan A dengan 9 mata secara keseluruhan.

Rodzhanizam mengambil kesempatan untuk memuji anak buahnya kerana sudah menonjolkan usaha yang tidak henti dan akhirnya dapat membuahkan hasil buat pasukan kebangsaan.

“Alhamdulillah kami meraih kemenangan pada perlawanan yang penting iaitu menentang Iran. Pemain tidak berputus asa walaupun ketinggalan dan bermain mati-matian untuk bangkit mencari kemenangan. Pujian harus diberikan kepada seluruh pemain dan pasukan. Pemain mengikut perancangan yang ditetapkan barisan kejurulatihan.

Malaysia menang 4-2 kepada Iran.

“Untuk aksi separuh akhir, kami akan lakukan analisa ke atas pasukan lawan. Siapa pun lawan kami, antara Thailand atau Indonesia, kami akan bersedia sepenuhnya.

“Menjelang separuh akhir ini juga, kami akan menilai kembali kesilapan yang pasukan telah lakukan dan akan diperbaiki pada aksi separuh akhir. Kami akan meneliti permainan pasukan lawan dari sudut kekuatan dan kelemahan mereka, bagi mempersiapkan pemain dengan sebaiknya,” ujar beliau selepas tamat perlawanan menentang Iran.

Terdahulu, Malaysia mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan A ketika menentang Vietnam dengan keputusan 25-0, disusuli kejayaan 12-1 menentang Oman. Malaysia kemudiannya tersungkur dalam perlawanan ketiga bertemu Kazakhstan, dengan keputusan 1-5.

Misi penting untuk merampas semula kemenangan dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan akhirnya berjaya setelah anak buah Rodzhanizam menundukkan skuad Iran, 4-2 pada petang (Selasa).