SKUAD hoki remaja lelaki Malaysia, mempamerkan aksi bertenaga dengan menundukkan China 5-2 dalam perlawanan Kumpulan B Piala Asia Remaja 2024 di Stadium Hoki Oman, Al Amarat, Muscat, pada Selasa.

Kemenangan ini bukan sahaja memperkukuh peluang Malaysia mara ke pusingan kalah mati, tetapi juga memberi keyakinan menjelang pertemuan penting menentang tuan rumah, Oman, malam esok (Rabu).

Pasukan negara, yang turun dengan jersi serba kuning hitam, bermula agresif, tetapi dikejutkan dengan jaringan awal pasukan China pada minit kelima menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Wang Yubo.

Bagaimanapun, Malaysia tidak mudah mengalah, dan kapten pasukan, Che Nur Aqilrullah, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 hasil hantaran cantik daripada Adam Ashraf.

Selepas terikat 1-1 pada separuh masa pertama, Malaysia mempamerkan aksi dominan di suku ketiga. Muhammad Addy Jazmi mencipta gol kedua negara pada minit ke-34 selepas pukulan sudut penalti yang tersusun rapi.

Momentum terus berpihak kepada Malaysia apabila Muhammad Khairul Norizam dan Naaveennash Panicker masing-masing menambah dua lagi jaringan pada penghujung suku tersebut untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 4-1.

China cuba bangkit di suku keempat menerusi jaringan padang oleh Zhang Jialang pada minit ke-46. Namun, pertahanan kukuh dan strategi bijak Malaysia memperlahankan tempo permainan untuk mengawal perlawanan.

Tiga minit sebelum tamat, pasukan China memperoleh satu lagi pukulan sudut penalti, tetapi ia berjaya dipatahkan oleh pertahanan negara.

Malaysia memastikan kemenangan bergaya dengan gol kelima menerusi Muhammad Danish Danial yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-59. Keputusan penuh, Malaysia 5-2 China, mencerminkan persembahan mantap skuad bimbingan Iswaraphatam Vikneswaran.

Malaysia Speedy kini berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya. Aksi menentang Oman esok pada jam 11 malam waktu Malaysia dijangka menjadi ujian penting untuk menilai kekuatan sebenar pasukan ini.