PENGENDALI skuad hoki kebangsaan, A. Arul Selvaraj berkongsi tiga perkara yang dilihat mencetuskan kebangkitan Speedy Tigers pada suku ketiga dan keempat dalam perlawanan kedua Kumpulan C bertemu Chile di Rourkela, India pada Isnin.

Arul menjelaskan perkara itu kepada FLASH SUKAN dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia berjaya mencatat kemenangan 3-2, kemenangan pertama di Piala Dunia sejak 2002 sekaligus menghidupkan kembali peluang ke peringkat ‘crossover’ untuk ke suku akhir.

Walaupun dilihat cukup bergelut pada peringkat awal dengan Chile dua kali mendahului, Arul menegaskan peranan 3K yang diterapkan dalam setiap pemain ketika rehat berjaya menaikkan kembali semangat pemain sekaligus mempamerkan aksi sebenar pada suku ketiga dan bertahan dengan baik pada suku keempat.

“Saya menerapkan peranan 3K kepada pemain iaitu Konfiden, Kemahuan dan Kaki dan ternyata pemain faham dan dapat menerapkan perkara ini dalam permainan mereka dan bermain dengan lebih berdisiplin.

“Konfiden diperlukan untuk pergerakan bola yang lebih pantas kerana jika pemain yakin dengan diri mereka dan teman sepasukan, mereka akan bermain lebih pantas sekaligus mudah untuk memerangkap lawan dan memaksa lawan melakukan kesilapan.

“Untuk mencapai ini, mereka juga perlu ada kemahuan untuk menang kerana semua pemain sedar hanya kemenangan sahaja yang dituntut dalam perlawanan ini dan mereka berjaya menunjukkan kemahuan itu dengan melakukan serangan yang bertubi-tubi.

Skuad negara baru tiba di Bhibaneswar selepas bertolak dari Rourkela pagi tadi untuk menghadapi perlawanan bertemu New Zealand esok.

“Satu lagi perkara yang penting yang saya tekankan adalah kaki. Kaki bermaksud saya menyuruh pemain supaya tidak menjaga kaki mereka kerana mereka boleh berlari oleh itu mereka perlu berlari lebih laju” jelasnya yang nyata lega dengan kemenangan itu.

Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Razie Rahim, Ashran Hamsani dan Norsyafiq Sumantri untuk memberikan kemenangan 3-2 dan meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan C.

Speedy Tigers kini mengumpul tiga mata, terikat bersama New Zealand (menang sekali dan kalah sekali) namun dibezakan dengan perbezaan jaringan dengan kedua-dua pasukan berebut tempat kedua kumpulan dan perlawanan terakhir menentang skuad Kiwi itu bakal menjadi penentu siapakah lawan Malaysia di peringkat ‘crossover’.

 

Malaysia akan bertemu New Zealand pada Khamis dengan kemenangan akan menjamin Speedy Tigers di tempat kedua bertemu pasukan tempat ketiga Kumpulan D di peringkat ‘crossover’ untuk selangkah lagi ke peringkat suku akhir.