PEMAIN pertahanan skuad hoki kebangsaan, Razie Rahim mahu rakan-rakan sepasukannya bermain sebagai satu pasukan apabila berhadapan Belanda dalam aksi pembukaan Piala Dunia Hoki 2023 di Odisha, India pada Sabtu.

Razie juga sedar akan tekanan yang bakal dihadapi Speedy Tigers tetapi mereka akan cuba menyerap tekanan itu dan menyesuaikan diri berdasarkan taktikal yang ditetapkan oleh jurulatih.

Dia mahukan permulaan yang baik kerana ianya akan menjadi motivasi terbaik buat pemain dan pasukan untuk menghadapi dua lagi perlawanan Kumpulan C menentang Chile dan New Zealand.

“Perlawanan pembukaan ini sangat penting kerana jika kita bermula dengan baik, ianya akan memberikan motivasi buat kami untuk beraksi lebih baik pada dua perlawanan seterusnya.

“Sudah pastu ada tekanan pada setiap perlawanan tetapi kami akan menyesuaikan diri dengan tekanan yang bakal dihadapi dan kami kini sudah mula menganalisis apa taktikal yang perlu kami lakukan di atas padang.

“Para pemain juga perlu sentiasa fokus dengan tugas dan perlu memikul tanggungjawab masing-masing pada setiap masa dalam perlawanan. Persembahan individu sangat penting dalam setiap perlawanan kerana ianya akan memastikan persembahan pasukan akan meningkat,” katanya menerusi satu rakaman video.

“Kita tidak perlu takut dan tidak perlu risau untuk lakukan kesilapan kerana semua orang akan lakukan kesalahan dan kita akan bermain sebagai satu pasukan yang akan menutup segala kesilapan yang mungkin dilakukan.

“Kita bertahan sebagai satu pasukan dan kita menyerang sebagai satu pasukan. Itulah yang saya sering ingatkan kepada rakan sepasukan menjelang aksi hari ini,” tambah penjaring terbanyak negara dengan 107 gol.

Razie turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong setia Speedy Tigers dan menganggap sokongan daripada penyokong ini adalah sebagai semangat tambahan buat pasukan dan mereka akan membalasnya dengan aksi yang baik.

Skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu bakal berhadapan Belanda, naib juara edisi 2018 di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela untuk penampilan kesembilan Malaysia di Piala Dunia.