SIAPAKAH lawan yang bakal dihadapi oleh skuad hoki kebangsaan dalam Piala Dunia Hoki Odisha 2023 bakal diketahui pada 8 September 2022 ini apabila undian rasmi akan dilangsungkan di Bhubaneswar.

Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan tempat ke Piala Dunia kali ini dengan Malaysia berjaya layak buat kali kesembilan dan ketiga berturut-turut selepas muncul naib juara Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta Mei lalu.

Selain India yang layak sebagai tuan rumah, tujuh pasukan Eropah, Belgium, England, Jerman, Sepanyol, Belanda, Wales dan Perancis serta satu wakil Afrika, Afrika Selatan akan bertanding dalam kejohanan empat tahun sekali ini.

 

Turut mengambil bahagian adalah Australia, New Zealand, Argentina, Chile, Korea Selatan dan Jepun selain Malaysia melengkapkan 16 pasukan yang akan dibahagikan kepada empat kumpulan.

Malaysia diletakkan di dalam balang ketiga bersama-sama Sepanyol, Perancis dan Korea Selatan berdasarkan Ranking Dunia pada 1 Jun 2022 dengan undian akan dijalankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FIH Thierry Weil beserta Ketua Menteri Odisha, Shri Naveen Patnaik akan turut hadir.

Sebagai rekod, Malaysia menamatkan saingan Piala Dunia 2018 di tangga ke-15 dari 16 pasukan dengan hanya mencatatkan satu keputusan seri dan dua kekalahan sementara Belgium muncul juara selepas menewaskan Belanda di final.

Piala Dunia Hoki Odisha 2023 akan berlangsung di Stadium Hoki Kalinga di Bhubaneswar dan Stadium Hoki Birsa Munda yang baru dibina di Rourkela, India dari 13 hingga 29 Januari 2023.