CABARAN pasukan hoki remaja lelaki negara tetap digalas The Young Tigers meskipun tidak berada dalam perebutan tempat ke separuh akhir Piala Dunia Remaja.

Selepas mengatasi Mesir 4-1 pada penentuan tempat kesembilan hingga 16, semalam, anak didik Muhamamd Amin Rahim semakin hampir mencapai misi menamatkan saingan  di kedudukan terbaik iaitu sembilan.

Namun pencabar akan ditentang esok, bukan calang-calang iaitu Belgium yang bakal menjadi petualang pada aksi klasifikasi sembilan hingga 12.

Pemain negara perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang, andai bercita-cita menamatkan saingan di kedudukan ke sembilan. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT

Berdasarkan empat rekod pertemuan sebelum ini, Belgium sudah mencatat dua kemenangan manakala Malaysia meraih satu kemenangan dan kedua-dua pasukan pernah terikat 1-1 iaitu pada pertemuan terakhir pada edisi sebelum ini di Bhubaneswar, India pada 2021.

Kedua-dua skuad terdiri daripada pasukan berbeza berbanding edisi lalu.

Begitupun, semua itu tidak akan menjadi ukuran utama buat pengendali pasukan, Muhammad Amin Rahim yang pada kali ini lebih mahu menumpukan kepada prestasi anak buahnya.

Menurut beliau, pasukan perlu bijak memanfaatkan setiap peluang dimiliki ketika menentang pasukan ranking kelima dunia itu esok.

Sehebat mana percaturan diatur jurulatih Muhammad Amin Rahim tidak akan menjadi sekiranya pemain remaja negara tidak mempunyai keazaman yang sewajarnya untuk menewaskan Belgium. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT

“Peluang seperti mendapat pukulan sudut penalti yang banyak ketika menentang Mesir (semalam) mungkin tidak akan diperoleh ketika aksi bertemu Belgium (esok) memandangkan pasukan itu mempunyai kelebihan fizikal berbanding skuad negara.

“Untuk perlawanan ini, kita kena bersedia dari segi fizikal sebab saiz mereka lagi besar, tetapi dari segi kemahiran kita lagi baik berbanding mereka (Belgium),” kata Amin.

Belgium memberi amaran kepada skuad negara, apabila membelasah Kanada 12-0 pada penentuan 9/16 semalam. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT

Semalam, Malaysia yang berada di ranking kelapan dunia mencatat kemenangan 4-1 ke atas Mesir dalam pertemuan yang menyaksikan skuad negara memperoleh 16 pukulan sudut penalti.

Namun Young Tigers hanya berjaya meledak tiga gol daripada pukulan sudut penalti manakala satu lagi jaringan menerusi jaringan padang Mohammad Harris Iskandar Osman.

Fizikal pemain Belgium yang besar serta kemahiran mengawal bola dan tajam ketika menjaringkan gol perlu dibendung pemain negara. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT

Sementara itu, Belgium yang menepati ramalan ke peringkat seterusnya selepas membelasah Kanada 12-0 semalam, berazam untuk meneruskan momentum kemenangan.

“Fokus kami selepas ini adalah bertemu Malaysia. Kami mahu menang dan ini adalah antara prinsip dalam permainan. Matlamat kami masih sama, mengejar posisi tempat kesembilan untuk menamatkan cabaran di tempat teratas,” kata pengendali Belgium, Jeroen Baart.

Rekod pertemuan Malaysia-Belgium

2021

Malaysia 1 Belgium 1 (Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India)

2016

Malaysia 0 Belgium 3 (Piala Dunia Remaja di Lucknow, India)

2009

Malaysia 2 Belgium 3 (Piala Dunia Remaja di Johor Bahru/Singapura)

2005

Malaysia 4 Belgium 2 (Piala Dunia Remaja di Rotterdam, Belanda)