PENYERANG muda negara, Mohammad Harris Iskandar Osman mengakui, belum dapat mengeluarkan tahap permainan terbaiknya sepanjang saingan Piala Dunia Remaja 2023 dan bertekad menebusnya pada perlawanan terakhir menentang New Zealand, esok.

Perlawanan penentuan tempat ke-11/12 itu, menjadi harapan terakhir negara untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik selepas kegagalan menepati sasaran ke suku akhir dan kesembilan keseluruhan.

“Saya rasa saya belum tampilkan permainan terbaik saya kerana banyak peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan gol.

“Jadi untuk perlawanan terakhir saya mahu berikan yang terbaik untuk membantu pasukan mendapatkan lebih banyak gol,” kata pemain yang beraksi di posisi penyerang itu.

Harris Iskandar Osman (kanan) berazam menebus kehampaan dan memperbaiki prestasi pada perlawanan menentang New Zealand.

Menurutnya, ketika berdepan Belgium semalam, dia seharusnya menjaringkan empat hingga ke lima gol, namun gagal menyempurnakannya sehingga The Young Tigers terpaksa akur terikat 2-2 dalam tempoh permainan sebenar, sebelum tewas 3-5 menerusi penalti shoot-out.

Selepas lima perlawanan, iaitu tiga dalam saingan kumpulan A dan dua perlawanan klasifikasi, Harris menjadi penjaring terbanyak skuad negara dengan tiga gol.

Sementara itu, ketua jurulatih, Muhammad Amin Rahim enggan terlalu memikirkan kelebihan New Zeland yang akan dihadapi esok, kerana mahu memberikan tumpuan kepada corak permainan yang akan dilaksanakan anak didiknya.

Skuad muda negara tidak boleh hanya kental bertahan dan perlu menukar peluang kepada jaringan.

“Kita pernah bertemu New Zealand di saingan Piala Sultan Johor (Oktober lalu), jadi kita akan melihat semula video rakaman perlawanan membabitkan New Zealand di kejohanan ini.

“Kita nak tahu apakah mereka mempamerkan corak permainan sama atau berbeza,” katanya.

Pada Piala Sultan Johor lalu, skuad negara berada satu kumpulan dengan New Zealand, tewas 2-3 kepada pasukan lawan yang menyaksikan skuad muda negara dua kali bangkit menyamakan kedudukan, kedua-duanya menerusi jaringan kapten, Faris Harizan.

Perlawanan menentang Belgium, semalam menjadi persembahan terbaik The Young Tigers setakat ini.

Begitupun, Amin sekali lagi menaruh kepercayaan terhadap kemampuan pemainnya, “Kalau mereka lakukan dengan betul sebagaimana prestasi hari ini (menentang Belgium), mereka boleh uruskan mana-mana pasukan dengan baik.

“Kita dapat lihat pemain beraksi cemerlang sebagai satu pasukan baik dari segi sikap, disiplin dan karakter atas padang.

“Kita sudah gagal capai sasaran ke suku akhir, kita gagal menamatkan saingan di kedudukan kesembilan, jadi nombor 11 adalah yang terbaik mampu kita capai ketika ini dan saya mahu pemain memberikan sepenuh jiwa raga mereka,” ujarnya.

Selepas gagal ke suku akhir, skuad negara beraksi pada perlawanan penentuan 9/16, menewaskan Mesir 4-1, sebelum tewas kepada Belgium (9/12) menerusi penalti shoot out.

New Zealand pula mengatasi Korea Selatan 3-2 pada penentuan 9/16, sebelum tewas kepada Afrika Selatan (9/12) juga menerusi penentuan penalti shoot-out, semalam.